suria

Pelawaan Australia: FAM Diharap Susun Semula Jadual Piala Malaysia

KEMAMAN: Malaysia menyambut baik pelawaan Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa untuk menentang skuad Harimau Malaya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu meneliti dengan sewajarnya pelawaan itu kerana ia dilihat sebagai satu penghormatan kepada negara untuk menentang pasukan Socceroos yang merupakan antara pasukan yang hebat di dunia.

"Kita berharap FAM dapat melihat pelawaan ini sebagai satu tawaran yang sangat menarik kerana ia boleh meningkatkan pengalaman serta mutu permainan pemain kebangsaan.

"Satu penyelarasan jadual latihan perlu diteliti agar ia tidak mengganggu pertandingan atau latihan tempatan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian wang pendahuluan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Parlimen Kemaman di sini Jumaat.

Pada majlis itu, seramai 190 pelajar di daerah Kemaman yang akan memasuki Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) pada September ini menerima bayaran pinjaman pendahuluan masing-masing sebanyak RM1,500 seorang.

Ahmad Shabery berkata perlawanan persahabatan itu juga boleh diadakan pada tarikh yang dicadangkan oleh FFA iaitu pada 9 Oktober ini di Sidney dan ia sudah tentu tidak akan menjejaskan perlawanan bola sepak tempatan seperti kempen Piala Malaysia.

"Kita percaya FAM akan memikirkan sebaik-baiknya perkara ini termasuk menyusun semula jadual-jadual perlawanan tempatan bagi memberikan laluan kerana ia memberi pengalaman berguna kepada pemain tempatan untuk menunjukkan kehebatan semasa menentang skuad Piala Dunia Australia itu, yang juga naib juara Piala AFC.

"Kita tidak boleh melepaskan pelawaan atau undangan yang jarang diterima dan kita rasakan ia sebagai satu penghormatan kepada pasukan bola sepak negara kerana kehebatan pasukan Harimau Malaya kini dinilai oleh pasukan bola sepak negara luar," katanya.

Ia boleh menjadi satu latihan untuk persiapan bertanding dalam Piala AFC dan Piala Suzuki tahun hadapan.

FFA telah mengundang skuad Harimau Malaya pada minggu lepas bagi mengadakan perlawanan itu, namun tarikh itu bertembung dengan tarikh Piala Malaysia.

Mengenai bakal mahasiswa yang menerima wang pendahuluan PTPTN, Ahmad Shabery menasihatkan mereka agar membelanjakan wang berkenaan untuk tujuan pendidikan secara berhemah agar ia tidak menjejaskan pengajian mereka di IPT nanti.

PTPTN membelanjakan lebih RM280,000 bagi menyalurkan wang pendahuluan berkenaan kepada semua pelajar yang layak di daerah Kemaman untuk kemasukan September ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain