Walaupun Tanpa Fabregas, Wenger Janjikan Aksi Mengujakan - Sukan | mStar

Walaupun Tanpa Fabregas, Wenger Janjikan Aksi Mengujakan

PETALING JAYA: Walaupun tanpa kehadiran ketua pasukan Cesc Fabregas, pengurus pasukan Arsenal, Arsene Wenger menjanjikan permainan mengujakan kepada peminat tempatan apabila pasukan itu bertemu Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini pada Rabu.

Wenger tiba di Malaysia, Isnin, bersama-sama barisan pemainnya.

Fabregas tidak dapat datang kerana mengalami kecederaan di peha.

Bercakap kepada pemberita di hotel penginapan pasukan itu di Subang di sini, Wenger berkata beliau menjangkakan tentangan hebat daripada pasukan Malaysia pada kali ini berbanding dengan pertemuan mereka pada 1999.

"Saya belum lagi menonton permainan pasukan Malaysia di video. Kami akan mengetahui rahsianya pada hari perlawanan nanti.

"Kali terakhir pasukan bertemu Malaysia ialah 12 tahun lepas. Kami menjangkakan permainan Malaysia telah banyak meningkat di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal dan pastinya akan menurunkan barisan pemain terbaik," katanya.

Katanya perlawanan menentang Malaysia merupakan satu pengalaman berharga buat pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam persiapan mereka untuk berdepan musim akan datang dan para pemain amat teruja dengannya.

"EPL amat popular di Asia dan Arsenal juga merupakan pasukan amat popular di Asia. Kebanyakan pemain Gunners tidak pernah datang ke rantau ini," katanya.

Kapten pasukan Gunners bagi perlawanan menentang Malaysia ini, Robin Van Persie berkata beliau tidak sabar untuk beraksi di depan ribuan peminat Arsenal di Malaysia.

"Ini pertama kali saya berada di sini dan pastinya ia satu pengalaman yang amat berbeza," katanya.

Persie, yang bermain sebagai penyerang berkata beliau berharap cuaca di Malaysia akan "bertimbang rasa" dengan pasukannya kerana mereka mungkin cepat letih berikutan keadaan cuaca panas lembap di sini.

Selepas Malaysia, pasukan Gunners akan terbang ke China bagi mengadakan perlawanan dengan Hangzhou Greentown pada Sabtu.

Untuk rekod, pada kunjungan pertama mereka ke negara ini, Malaysia di bawah bimbingan jurulatih Datuk M. Chandran mengalahkan Gunners 2-0 menerusi jaringan Datuk Mokhtar Dahari pada 13 Mei, 1975 dan dua hari kemudian Isa Bakar menyumbangkan gol untuk mengikat Gunners 1-1.

Pada kunjungan kedua mereka pada 19 Mei, 1999, Gunners berjaya membalas dendam apabila menumpaskan Malaysia 2-0 menerusi jaringan Nicolas Anelka dan Emmanuel Petit di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Pasukan Arsenal: Wojciech Szczesny, Vito Mannone, Sebastian Squillaci, Johan Djourou, Kieran Gibbs, Carl Jenkinson, Laurent Koscielny, Andrey Arshavin, Marouane Chamakh, Ryo Miyaichi, Armand Traore, Thomas Vermaelen, Bacary Sagna, Theo Walcott, Alex Song, Jack Wilshere, Tomas Rosicky, Denilson, Aaron Ramsey, Emmanuel Frimpong, Samir Nasri, Carlos Vela, Robin van Persie. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiket Perlawanan Malaysia/Arsenal Masih Ada

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain