suria

Pelayar Malaysia Sertai Lima Kejohanan Di Eropah

LANGKAWI: Skuad pelayaran Malaysia akan menyertai lima kejohanan di Eropah mulai bulan depan sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik selain Sukan SEA di Indonesia.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata kejohanan itu ialah ISAF Volvo Remaja Dunia 2011 di Zadar, Croatia mulai 7 hingga 16 Julai, Kejohanan Laser Standard Remaja dan Laser Radial Lelaki Dunia dan Eropah di La Rochelle, Perancis mulai 16 hingga 23 Julai serta Weymouth and Portland International Regatta di Dorsert, United Kingdom mulai 31 Julai hingga 13 Ogos.

Kejohanan Kelas 470 Remaja Dunia di Medemblik, Belanda bermula 20 hingga 28 Julai dan Kejohanan Laser Radial Remaja Dunia di La Rochelle, Perancis pada 24 hingga 31 Julai.

Antara pelayar yang disenaraikan untuk kejohanan-kejohanan itu adalah Khairulnizam Mohd Afendy, Khairunneeta Mohd Afendy, Mohammad Latif Khan Ali Sabri Khan, Nurliyana Mohamad Latif, Norashikin Mohammad Sayed, Geh Cheow Lin, Ku Anas Ku Zamil, Hafizzudin Mazelan, Khairunnisa Mohd Afendy, Mohd Noor Nazmi Abdullah dan Mohd Romzi Muhammad.

Beliau berkata Khairulnizam menjadi sandaran negara pada Kejohanan ISAF Volvo Remaja untuk membaiki penyertaan tahun lepas apabila beliau menduduki tangga ketujuh.

Seorang lagi pelayar negara Khairunnisa juga sedang mengintai peluang untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia dalam kelas International 470.

Pada kejohanan dunia akhir tahun lepas di Qatar, Khairunnisa hanya menduduki tempat ke-10.

Mohd Afendy yakin kejohanan itu dapat memberi pendedahan luas kepada pelayar negara mengharungi cabaran dalam kejohanan besar.

"MYA berharap pelayar negara mampu memberi saingan dan layak ke Sukan Olimpik dan Sukan SEA," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain