suria

Penganjur Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia Mahu Jemput Pemain Dunia

KUALA LUMPUR: Pihak penganjur kejohanan tenis ATP Terbuka Malaysia 2011 sedang berusaha untuk membawa lima pemain terkemuka dunia ke sini.

Kejohanan kali ini akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil dari 24 Sept hingga 2 Oktober.

Kejohanan tahun lalu dimenangi oleh pemain Rusia Mikhail Youzhny.

Pengarah kejohanan Nick Freyer berkata beliau akan berada di Wimbeldon untuk membincangkan mengenai kehadiran pemain tenis terkemuka dunia.

"Selain pemain ranking teratas, kami juga mahu mencari pemain baru. Kami akan menunggu senarai pemain untuk edisi tahun ini kerana ia belum dikeluarkan oleh Jelajah Dunia ATP, katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani penajaan dengan Wilson di Menara IGB di sini Selasa.

Beliau berkata kejohanan itu dijangka menarik ramai pemain dari seluruh dunia.

Dengan perjanjian tersebut Wilson akan terus menjadi penaja bola rasmi, pakaian dan sebagainya untuk tiga tahun lagi.

Freyer turut mengumumkan harga tiket ditetapkan pada RM10 untuk hari Isnin dan Selasa, RM15 pada Rabu dan Khamis serta RM20 pada Jumaat.

Bagi Sabtu dan Ahad, tiket berharga RM50.

Sejumlah tiket untuk tempahan turut disediakan bagi perlawanan akhir hujung minggu.

Tiket-tiket kini boleh dibeli melalui laman web kejohanan atau terus dari TicketPro.- BERNAMA

Artikel Lain