suria

Selangor Juarai Renang Peringkat Umur Kebangsaan Ke-47

MELAKA: Kontinjen Selangor muncul sebagai juara keseluruhan pada Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan ke-47 yang berakhir di Kompleks Renang Hang Jebat di sini, Ahad.

Selangor mengumpul 35 pingat emas, 36 perak dan 31 pingat gangsa selepas menambah 15 emas serta mencipta tiga rekod kejohanan pada hari terakhir hari ini.

Perenang negara Foo Jian Beng muncul wira pasukan Selangor apabila menyumbang dua butir emas, masing-masing dalam acara 50 meter gaya bebas terbuka lelaki dengan masa 23.44 saat dan 50 meter kuak lentang dengan masa 28.35 saat.

Atlet wanita Caroline Chan Zi Xin mencipta rekod kejohanan dalam acara dalam acara 50 meter kuak dada (15-17 tahun) dengan catatan masa 31.65 saat.

Ben Proud mencipta rekod dalam acara 50 meter gaya bebas lelaki (15-17 tahun) dengan masa 23.58 saat manakala rekod ketiga dalam acara 4x100 meter rampaian berpasukan lelaki (15-17 tahun) dengan masa 4 minit 0.59 saat.

Sarawak menduduki tangga kedua carta pungutan pingat apabila menambah tujuh pingat emas, sembilan perak dan 16 pingat gangsa hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 25 emas, 31 perak dan 31 pingat gangsa.

Sarawak juga memecahkan tiga rekod kejohanan menerusi Tang Chong Heng dalam acara 100 meter kuak dada lelaki (13-14 tahun) dengan mencatat masa 1 minit 8.25 saat.

Hii Siew Siew pula dengan catatan masa 2 minit 18.59 saat dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu wanita (17 tahun) dan pasukan renang bumi kenyalang itu berjaya memecah rekod dalam acara 4x100 meter rampaian berpasukan lelaki (13-14 tahun) dengan masa 4 minit 9.96 saat.

Sabah menambah lapan pingat emas, tujuh pingat perak dan 14 pingat gangsa hari ini meletakkan pasukan itu di tangga ketiga pungutan pingat dengan jumlah pungutan keseluruhan 23 pingat emas, 22 pingat perak dan 33 pingat gangsa.

Tuan rumah, Melaka menduduki tangga keenam setelah memungut enam pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain