suria

SSBP Kuasa Baru Sukan Ragbi Negara

JOHOR BAHARU: Kejayaan menjuarai kategori kelab pada Kejohanan Ragbi Tujuh Sepasukan Jonah Jones 2010 yang turut disertai pasukan luar negara merupakan bukti jelas kemunculan Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) sebagai kuasa ragbi negara yang baru.

Malah pengetua SSBP Wan Ibrahim Wan Chik berkata, pemain-pemain sekolah sukan itu bukan sahaja berkemampuan menjuarai kejohanan tempatan, tetapi mereka juga mulai melakar nama pada pertandingan serantau serta antarabangsa.

"Kejayaan kita pada Kejohanan Jonah Jones menandakan pemain-pemain ragbi kelahiran SSBP sudah bersedia untuk menguasai persada ragbi kebangsaan dan serantau. Ia juga membuktikan program latihan kita berkesan di dalam melahirkan pemain-pemain yang berkualiti," katanya, Isnin.

Wan Ibrahim yang juga jurulatih kebangsaan berkata, walaupun pemain-pemain SSBP berusia bawah 19 tahun tetapi mereka telah menunjukkan kemampuan untuk bersaing dan menandingi pemain yang lebih senior di dalam kategori terbuka.

Kelab Bandar Penawar Panthers yang rata-rata diwakili pemain daripada SSBP berjaya menundukkan Royal Bangkok Sports Club (RBSC) 14-10 untuk menjuarai kategori kelab kejohanan Jonah Jones yang berlangsung di Bukit Kiara, Ahad.

Kejohanan berprestij Jonah Jones itu turut disertai oleh pasukan-pasukan kelab ternama daripada dalam serta luar negara, termasuk daripada Thailand, Hong Kong dan Singapura.

Kejayaan menundukkan RBSC menurut Wan Ibrahim, juga amat bermakna kerana sebahagian besar daripada pemain-pemain pasukan negara jiran yang ditentang mereka pada perlawanan akhir semalam merupakan pemain kebangsaan Thailand.

"Kejayaan kita menundukkan RBSC yang rata-ratanya merupakan pemain kebangsaan Thailand, amat membanggakan kerana pasukan kita dibarisi oleh pemain yang berusia di bawah 19 tahun," katanya.

Beliau menjangkakan pasukan ragbi SSBP kendaliannya, berkemampuan untuk pergi jauh di dalam persada kebangsaan dan antarabangsa sekiranya mereka terus bekerja keras di dalam latihan.

Menurut Wan Ibrahim, pasukannya akan ke Bali, Indonesia bulan depan untuk menyertai kejohanan antarabangsa Bali 10 yang turut disertai beberapa pasukan kelab ternama daripada New Zealand, Australia dan Hong Kong.

Pasukan SSBP katanya, akan berhadapan dengan tentangan hebat terutamanya daripada pasukan-pasukan daripada New Zealand dan Australia, yang merupakan kuasa besar dunia di dalam sukan ragbi.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain