suria

Gunalan Yakin Kemampuan Pemain Negara

KUALA LUMPUR: Jurulatih golf remaja negara, V.Gunalan yakin bahawa pemain-pemain negara bakal membuat kejutan pada Kejohanan Golf Terbuka Remaja Malaysia 100Plus Ke-5, di Nexus Golf Resort Karambunai, Kota Kinabalu pada 16 hingga 19 September ini.

Tahun lalu, Kelly Tan dan Gavin Kyle Green bergabung untuk bergelar juara buat pertama kali sejak kejohanan ini diadakan.

Lebih manis, Kelly dan Gavin turut dinobat sebagai juara keseluruhan dalam kategori Bawah 16 Tahun Perempuan dan Lelaki.

Skuad negara juga turut menaruh harapan kepada dua orang pemain Bawah 18 tahun dan 14 Tahun Lelaki, Abel Tam dan Low Khai Jei yang telah menunjukkan aksi terbaik sebelum ini.

Gunalan yang menjadi faktor utama kejayaan tahun lalu yakin skuad negara akan meneruskan aksi cemerlang mereka tahun ini.

“Kami mempunyai pemain-pemain yang hebat tahun ini, kecuali Gavin yang tidak dapat beraksi kerana memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Kategori lelaki termasuk, Chan Tuck Soon yang berjaya menamatkan saingan dalam kedudukan kesepuluh Terbuka Remaja British sebelum ini akan turut bersama selain Jeremiah Kim, Paul San, Mohammad Asyraf Rosli dan Low Khai Jei.

“Manakala Kelly Tan akan mengetuai barisan pemain kategori perempuan yang turut disertai oleh Isza Fariza Ismail, Nurdurriyah Damian dan Loy Hee Ying.

“Dengan pencapaian terbaik Kelly, Tuck Soon dan Jeremiah saya percaya pasukan negara akan berjaya di Sabah nanti,” katanya.

Kelly telah berjaya layak menyertai pertandingan berprestij, Kejohanan Golf LPGA Malaysia Sime Darby bulan depan, manakala Tuck Soon telah meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Jun lalu.

Sementara itu Jeremiah juga turut mencipta rekod negara apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang memenangi Kejohanan Terbuka Remaja Singapura baru-baru ini.

Seramai 120 pemain dari 12 negara bakal menyertai kejohanan ini termasuk dari Taiwan, Papua New Guinea, India, Hong Kong, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Vietnam, Thailand, Cambodia serta Korea Selatan.

Artikel Sebelum

Wan Jamak Tidak Mahu Dabik Dada

Artikel Berikut

Artikel Lain