suria

BAM Kaji Penggabungan Akademi Badminton, Sukan Lain Di Labu

KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan Akademi Badminton Negara dan Akademi Berbasikal di velodrom tertutup yang dirancang pembinaannya di Vision Valley, Labu di Negeri Sembilan, memerlukan kajian lanjut mengenai kesesuaiannya.

Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata satu kajian kini dilakukan satu jawatankuasa persatuan induk badminton itu namun belum ada keputusan dibuat mengenai kesesuaian penggabungan tersebut.

"Jika dilaksanakan, akademi itu dijadualkan siap pada 2012, lengkap dengan infrastruktur berteknologi terkini untuk atlet dan bakal menggantikan Akademi BAM yang kini berada di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada dua tahun lepas, mengenalpasti satu tapak di Taman Maluri, Cheras untuk dijadikan Pusat Kecemerlangan Badminton negara.

Namun pada tahun lepas, KBS memilih satu tapak baru yang dirasakan lebih sesuai di Jalan Cochrane, Cheras seluas 3.3 hektar tetapi terpaksa melupakan hasrat berkenaan kerana tanah milik Jabatan Alam Sekitar itu sangat tinggi. Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada awal bulan lepas kemudian mengumumkan pembinaan Akademi Badminton Kebangsaan di Labu, di Negeri Sembilan.

Ahmad Shabery kemudian mengumumkan pembinaan velodrom tertutup di lokasi sama bagi tujuan penubuhan Akademi Berbasikal Negara.

Mohamed Al-Amin berkata BAM difahamkan Akademi Badminton Negara di Labu itu akan digabungkan dengan akademi sukan-sukan yang lain.

"Cadangan agar Akademi BAM dipindahkan ke tempat itu sememangnya dialu-alukan namun kita perlulah mengkaji adakah langkah berpindah ke Labu mendatangkan impak maksimum kerana kebanyakan pemain badminton elit dan pelapis, mengaku lebih selesa jika akademi itu dibina di sekitar Kuala Lumpur.

"Kita nak cari 'rumah' sendiri yang merangkumi pusat latihan, gimnasium, pembangunan dan penyelidikan, kemudahan hostel, serta prasarana mencukupi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Terry Kembali Beraksi

Artikel Berikut

Alonso Unggul Di Grand Prix Itali

Artikel Lain