suria

Wan Jamak Tidak Mahu Dabik Dada

SEREMBAN: Jurulatih Negeri Sembilan Wan Jamak Wan Hassan menganggap kemenangan tipis 1-0 pasukannya ke atas Kelantan di Kota Baharu dalam perlawanan Piala Malaysia malam tadi sebagai satu permulaan yang baik tetapi beliau enggan mendabik dada dengan kemenangan itu.

Beliau berkata Piala Malaysia baru sahaja bermula.

"Saya mengingatkan pemain bahawa pertandingan baru bermula dan mereka tidak harus leka dengan kemenangan itu. Perlawanan masih panjang dan mereka hendaklah sentiasa fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Pada perlawanan kumpulan A itu, Negeri Sembilan selaku juara Piala Malaysia musim lepas memperolehi gol melalui jaringan Abdul Halim Zainal pada minit ke-73.

Wan Jamak gembira kerana para pemainnya mengikut arahan yang diberikan dan berjaya manfaatkan peluang untuk mencipta kemenangan.

Katanya pujian juga harus diberikan kepada barisan pertahanan kerana berjaya mengekang setiap asakan pasukan lawan.

"Bermain di Kota Baharu bukan satu perkara yang mudah bagi setiap pasukan dan kejayaan ini sudah pasti membakar semangat pemain untuk melakar kejayaan seterusnya,"katanya.

Negeri Sembilan akan berdepan KL Plus di tempat sendiri Jumaat ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wenger Bangga Kebangkitan Fabregas

Artikel Berikut

Guardiola Tak Salahkan Pemain

Artikel Lain