suria

Basikal: Terengganu Jalani Latihan Bagi Empat Kejohanan Kebangsaan

KUALA TERENGGANU: Meskipun suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri masih meriah, Terengganu telah mula mengorak langkah mengadakan latihan tersusun untuk pelumbanya sebagai persediaan menghadapi empat kejohanan lumba basikal kebangsaan tahun ini.

Ketua jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata latihan jarak jauh secara intensif untuk pelumba akan bermula esok bagi menguatkan semangat serta stamina dan antara destinasi yang menjadi pilihan termasuk Dungun, Besut dan Hulu Terengganu.

"Kejohanan pertama yang akan dihadapi ialah Kejohanan Sport Excel sirkit ketiga remaja di Kuala Lumpur pada 24 hingga 26 Sept ini, yang disertai seramai 10 hingga 12 pelumba pelapis untuk kejohanan ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Terengganu tidak dapat menghantar pelumba senior bertanding dalam kejohanan itu kerana mereka bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

Katanya, Terengganu juga akan menghantar pasukan elit untuk bertanding dalam kejohanan Terbuka Perlis pada 21 Okt, dan negeri itu telah menyenaraikan 14 pelumba lelaki dan wanita untuk menyertai kejohanan tiga hari itu.

Syed Mohd Hussaini berkata langkah itu diambil kerana kejohanan tersebut turut disertai ramai pelumba dari negara Asean.

Beliau berkata kejohanan seterusnya ialah Grand Prix Kebangsaan Sirkit ketiga di Kemaman, Terengganu pada 30 Okt, dan Terengganu dijangka menghantar 12 pelumba.

Katanya, kejohanan keempat dan terakhir yang akan disertai Terengganu tahun ini ialah Grand Prix Kebangsaan Sirkit keempat di Sarawak pada 5 November dan enam pelumba akan dihantar bertanding pada kejohanan itu.

Beliau berkata Terengganu menyasarkan tempat pertama dalam Grand Prix Kebangsaan berikutan prestasi cemerlang pelumba yang menyaksikan kedudukan negeri itu di tangga ketiga selepas mengharungi dua sirkit pertama di Johor dan Kedah sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Terry Kembali Beraksi

Artikel Berikut

Alonso Unggul Di Grand Prix Itali

Artikel Lain