suria

Kafa Boleh Berbangga Biaya Sendiri Sukan Bola Sepak Kelantan

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)telah berjaya berdiri di atas kaki sendiri dalam membangunkan sukan bola sepak di Kelantan.

Ia mengadakan sumbernya sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan negeri seperti amalan kebanyakan persatuan bola sepak negeri lain.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata inisiatif Kafa merupakan contoh yang perlu diteladani oleh persatuan bola sepak lain.

"Ada negeri yang memperuntukkan sehingga RM5 juta setahun. Sebab itu kita lihat Kafa lebih ke hadapan dalam sukan bola sepak," katanya ketika berucap pada pelancaran Karnival The Red Warriors 2010 di sini malam tadi.

Beliau berkata bagi menjana ekonominya sendiri, Kafa turut memperkenalkan Cafe TRW yang membolehkan peminat bola sepak bersantai di situ di samping mengeluarkan keropok Red Warriors dan menerbitkan radio Internet yang dapat didengar oleh peminat Red Warriors di seluruh dunia.

"Kini Red Warriors sudah menjadi sebahagian gaya hidup anak-anak muda yang minat kepada sukan bola sepak dan ini melambangkan The Red Warriors telah berjaya meletakkan dirinya ke hadapan berbanding pasukan lain.

"Kita lihat The Red Warrior bukan sahaja berjaya dalam bidang bola sepak tetapi dalam bidang ekonomi dengan mempelbagaikan kegiatan ekonomi sampingannya," katanya.

Ahmad Shabery berkata perkara itu perlu dilakukan oleh persatuan lain dalam usaha tidak lagi bergantung kepada sumber kewangan kerajaan.

"Ini cara baru dan gelombang baru yang bermula di Kota Baharu. Idea ini memberi konsep baru dalam pembangunan sukan bola sepak negara," katanya.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pula berkata Kafa bercadang untuk membina stadium bola sepak sendiri.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar kerajaan pusat memberi peruntukan bagi merealisasikan hasrat tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain