suria

Bolasepak: Kemenangan Berterusan Diperlukan Untuk Jamin Skuad Terbaik

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 (B-23) Malaysia memerlukan lebih banyak perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa bagi mewujudkan pasukan yang konsisten terutama dalam persiapan ke Sukan Asia di Guangzhou, China, November ini.

Ketua jurulatih negara, K. Rajagobal berkata satu kemenangan dalam perlawanan antarabangsa bukanlah faktor yang menjamin kemenangan berterusan.

"Pasukan Malaysia memerlukan lebih banyak perlawanan kompetitif seperti melawan skuad B-23 Korea Selatan hari ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Skuad B-23 Malaysia menumpaskan skuad B-23 Korea Selatan, 1-0 hasil jaringan Safiq Rahim pada minit ke-50 pada perlawanan persahabatan, sempena 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Skuad Rajagobal sebelum ini terlepas dua perlawanan persahabatan antarabangsa selepas pasukan divisyen dua Liga Perdana Inggeris, Cardiff City dan juara Eropah, Real Madrid membatalkan perlawanan di negara ini, yang sepatutnya berlangsung pada bulan ini.

Rajagobal berkata beliau akan terus menguji pemain dari skuad B-21 kebangsaan serta skuad senior bagi mengisi barisan terkuat negara ke Sukan Asia.

Mengenai perlawanan hari ini, Rajagobal berkata pasukannya mempamer semangat juang yang tinggi serta tidak terlalu memandang tinggi keupayaan lawan walaupun menyedari pasukan tersebut datangnya dari negara yang telah tujuh kali beraksi di Piala Dunia sejak 1986.

"Secara fizikal, pemain Korea Selatan lebih tinggi dan tegap tetapi pemain saya berjuang bermati-matian untuk mendapat kemenangan," katanya.

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan Hong Myung Bo berkata keadaan padang yang basah akibat hujan sebelum perlawanan telah memperlahankan pergerakan pemainnya.

"Tetapi saya tidak menyalahkan mereka. Mereka masih muda dan kurang pengalaman. Mereka perlukan lebih banyak pengalaman bermain di peringkat antarabangsa," katanya.

Seperti Rajagobal, Hong Myung Bo juga berharap lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa untuk pemainnya bagi mempersiapkan mereka menghadapi Sukan Asia.

Saya juga akan memilih pemain dari skuad lain sama ada dari pasukan junior atau senior untuk menguatkan pasukan di Sukan Asia, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain