suria

Davydenko Sah Pertahankan Kejuaraan ATP Terbuka Malaysia 2010

KUALA LUMPUR: Pemain Russia, Nikolay Davydenko, akan mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Tenis ATP Tebuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, dari 25 September hingga 3 Oktober ini.

Davydenko, yang menewaskan Fernando Verdasco pada perlawanan akhir tahun lepas, adalah antara bintang dunia yang telah mengesahkan penyertaan pada edisi kedua di sini.

Pemain lain yang akan beraksi di sini ialah pemain nombor lima dunia, Robin Soderling, Tomas Berdych (8), David Ferrer (12), Mikhail Youzhny (14), Marcos Baghdatis (25), Lleyton Hewitt (30) dan pemain utama Asia, Lu Yen-Hsun dari Taiwan, yang menduduki ranking ke-41 dunia.

Selain itu, pemain nombor 18 dunia, Nicolas Almagro akan membuat penampilan sulungnya pada kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$947,750 (kira-kira RM3.34 juta).

Senarai barisan pemain itu telah disahkan pada majlis pelancaran kejohanan itu di hotel rasmi kejohanan, Mandarin Oriental, di sini hari ini oleh penaung kejohanan, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen mewakili Rosmah pada majlis itu serta membacakan teks ucapannya.

Rosmah berkata kejohanan yang dianggap antara salah satu acara ATP Siri Jelajah Dunia 250 terbaik di Asia itu akan memberi inspirasi kepada pemain muda di Malaysia.

"Kejohanan ini agak unik kerana ia bukan sahaja berkenaan pemain dunia tetapi juga termasuk klinik untuk pemain remaja negara. Adalah menjadi harapan saya bahawa pemain muda di negara ini pada satu hari nanti menjadi juara Terbuka Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Davydenko dalam rakaman sidang video, berkata beliau amat menyukai kejohanan itu tahun lepas dan ia merupakan batu loncatan bagi dirinya untuk menampilkan persembahan terbaiknya pada kejohanan selepas itu.

"Penganjuran dan suasana adalah begitu indah sekali dan ia memudahkan saya membat keputusan untuk kembali mempertahankan kejuaraan pada tahun ini," kata pemain nombor lima dunia itu.

Kuala Lumpur merupakan bandar raya kelima Asia menganjurkan siri itu selepas Tokyo, Bangkok, Beijing dan Shanghai.

Kejohanan itu dianjurkan oleh syarikat pemasaran sukan dan gaya hidup, International Management Group (IMG) dengan sokongan kerajaan Malaysia.

Pengarah Kejohanan, Nick Freyer, berkata penganjuran kejohanan sulung Terbuka Malaysia tahun lepas telah mendapat pengiktirafan apabila menerima anugerah "Award For Operational Excellence" daripada ATP Jelajah Dunia.

Mengikut format kejohanan, seramai 28 pemain akan beraksi pada undian utama perseorangan dan 16 pasukan dalam acara beregu.

"Pusingan kelayakan acara perseorangan dibuka kepada 32 pemain dengan dua slot disediakan kepada pemain tempatan.

"Selain itu, seorang pemain tempatan juga berpeluang berganding dengan pemain bintang dalam acara beregu," kata Freyer.

Tiket untuk kejohanan kini dijual dan boleh dibeli menerusi TicketPro dengan melayari laman web www.TicketPrp.com.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain