suria

Jangan Pandang Remeh Gangguan Seksual, Mumtaz Nasihat Atlet

KUALA LUMPUR: Semua atlet, tidak mengira lelaki atau wanita, perlu melaporkan dengan segera sekiranya mereka berhadapan dengan masalah gangguan seksual semasa menjalani latihan, kata Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Paduka Dr Mumtaz Begum Abdul Jaffar.

"Pada masa ini, gangguan seksual tidak dilihat sebagai satu jenayah spesifik dan akibatnya, ramai yang memandang remeh isu ini. Ramai yang berhadapan dengan masalah gangguan seksual ini tetapi tidak melaporkannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Gangguan dan Penindasan Seksual Dalam Sukan anjuran Institut Sukan Negara (ISN) di Dewan Perdana ISN, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Menurut Mumtaz fenomena seumpama itu amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila melibatkan individu yang telah dipertanggungjawabkan untuk mempertingkatkan kecemerlangan sukan di negara ini.

"Gangguan seksual bukan sahaja melibatkan lelaki dengan wanita tetapi juga berlaku di kalangan gender yang sama. Ia boleh menyebabkan gangguan emosi yang boleh menyebabkan prestasi mereka menurun," katanya.

Seminar dua hari yang bermula hari ini melibatkan kira-kira 180 orang kakitangan ISN, Majlis Sukan Negara, Majlis Sukan Negeri, wakil persatuan sukan kebangsaan, atlet, jurulatih dan pelajar institusi pengajian tinggi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Chong Wei Terus Unggul

Artikel Lain