suria

Liverpool Tawar Wang Pampasan Kepada Benitez

LONDON: Liverpool menawarkan pakej pampasan bernilai tiga juta pound (RM14.4 juta) kepada Pengurus Rafael Benitez untuk meninggalkan kelab itu.

Menurut akhbar The Times dan The Guardian, lembaga pengarah Liverpool sedia mengeluarkan wang itu dengan harapan untuk mengelak bayaran pampasan sebanyak 16 juta pound (RM77.02 juta) kepada Benitez sekiranya dia dipecat.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu menandatangani kontrak selama lima tahun dengan The Reds pada Mac 2009.

Bagaimanapun, Liverpool belum mengeluarkan sebarang komen berhubung spekulasi itu manakala ejen Benitez, Manuel Garcia memberitahu, mereka tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Jika Benitez meninggalkan Anfield, Inter Milan mungkin menjadi destinasi kedua Liverpool selepas Presiden Massimo Moratti menyuarakan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Saya sentiasa mengimpikan untuk bekerjasama dengan Rafael Benitez tetapi dia masih mempunyai kontrak bersama Liverpool," kata Moratti.

Benitez menyertai Liverpool pada musim panas 2004 dan pernah mengemudi pasukan itu memenangi trofi Liga Juara-juara Eropah pada musim pertamanya di Anfield.

Liverpool turut menjuarai Piala FA pada 2006 dan mara ke pusingan akhir Liga Juara-juara pada 2007 dan menamatkan aksi Liga Perdana Inggeris musim 2008/2009 di tempat kedua.

Namun, musim lalu, The Reds sekadar menduduki tempat ketujuh, keputusan yang mengecewakan selepas memenangi trofi terakhir empat tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain