China, Korea Menang Mudah - Sukan | mStar

China, Korea Menang Mudah

KUALA LUMPUR: Juara bertahan dan pilihan utama kejohanan China menang mudah 5-0 ke atas Amerika Syarikat dalam pertandingan peringkat Kumpulan A Kejohanan Piala Uber di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Pasukan itu yang dibarisi pemain-pemain handalan dunia hanya mengambil masa 98 minit untuk menundukkan Amerika.

Perseorangan nombor satu dunia Wang Yihan memulakan pungutan mata untuk China apabila menewaskan Rena Wang (87) dari Amerika 21-2, 21-9.

Rakan senegara Wang, beregu nombor satu dunia Jin Ma/Xiaoli Wang, turut tidak menghadapi masalah untuk menundukkan beregu Amerika Eva Lee/Mesinee Mangkalakiri 21-7, 21-12.

Para pemain China seterusnya menewaskan lawan masing-masing iaitu perseorangan kedua, Xin Wang menewaskan Iris Wang 21-8, 21-7; beregu Qing Tian/Pan Pan mengalahkan Keul-Ya Chen/Priscilla Lun 21-5, 21-5 dan perseorangan ketiga Shixian Wang menewaskan Cee Nantana Ketpura 21-7, 21-5.

China seterusnya akan menentang Malaysia dalam pertandingan peringkat kumpulan Selasa ini.

Bagi pertandingan Kumpulan D, Korea menempuh laluan mudah apabila menewaskan pasukan bukan pilihan Afrika Selatan 5-0.

Kekuatan Korea terserlah apabila perseorangan ketiganya Yun Hwa Lee hanya mengambil masa 16 minit untuk mengalahkan pemain Afrika Selatan Jade Morgan 21-3, 21-5.

Korea turut menunjukkan kekuasaannya melalui pasangan beregu Kyung Eun Jung- Ye Na Jang yang berjaya menundukkan Michelle Edwards-Kerry-Lee Harrington 21-8, 21-8.

Korea akan menamatkan pertandingan kumpulan dengan bertemu India, Selasa ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Denmark Atasi Poland Dengan Mudah

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga