suria

Tevez Akan Sekat Hasrat United: Santa Cruz

United harus waspada ancaman Tevez ketika berkunjung ke Stadium City of Manchester, esok. Foto:REUTERS/Phil Noble
United harus waspada ancaman Tevez ketika berkunjung ke Stadium City of Manchester, esok. Foto:REUTERS/Phil Noble
United harus waspada ancaman Tevez ketika berkunjung ke Stadium City of Manchester, esok. Foto:REUTERS/Phil Noble

LONDON: Penyerang Manchester City, Roque Santa Cruz percaya rakan sepasukannya, Carlos Tevez masih ada peluang untuk membuktikan keupayaannya apabila bertemu bekas kelabnya, Manchester United, esok.

Perpindahan Tevez ke City mencetuskan kontroversi apabila bekas pengurusnya, Sir Alex Ferguson melepaskan pemergiannya pada musim panas lalu.

Tevez meledakkan 28 gol untuk The Blues pada musim ini dan membantu kelab yang menerima suntikan kewangan kukuh daripada jutawan Timur Tengah itu mengisi kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk melangkah ke saingan Liga Juara-juara Eropah pada musim depan.

Jika United mencatat kemenangan, pasukan kendalian Ferguson itu semakin menghampiri Chelsea dengan hanya satu mata sebelum pendahulu liga tersebut menentang Tottenham Hotspur dalam perlawanan berasingan.

Bagaimanapun, Santa Cruz yakin Tevez akan membiarkan United pulang dengan keadaan hampa.

"Tevez mempamerkan aksi menakjubkan pada musim ini. Dia meledakkan beberapa jaringan cantik dan mencipta hatrik tetapi perlawanan esok amat penting buatnya," kata Santa Cruz.

Menurutnya, Tevez sentiasa ingin membuktikan kemampuan kepada Red Devils dan percaya penyerang berbisa itu akan meranapkan harapan pasukan lawan untuk menjulang trofi liga musim ini.

Perlawanan esok pastinya ditunggu-tunggu peminat kedua-dua pasukan, apatah lagi United terdesak untuk mengutip tiga mata penuh bagi merapatkan jurang mata dengan Chelsea manakala City ingin memperkukuhkan kedudukan untuk terus menghuni tempat keempat.

Sementara itu, pemain veteran United, Ryan Giggs menegaskan pasukannya akan bangkit daripada kekecewaaan yang dialami beberapa minggu lalu dan berjuang habis-habisan.

Trofi liga akan berada dalam cengkaman Chelsea jika mereka mencatatkan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur yang berada di tempat kelima.

Artikel Berikut

Artikel Lain