suria

PSM Tangguh AGM Ahad Ini

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunannya (AGM) yang turut membabitkan pemilihan pucuk pimpinan persatuan itu yang dirancang Ahad ini.

Presidennya, Datuk Ahmad Ismail berkata keputusan itu diambil berikutan masih terdapat individu yang tidak berpuas hati berikutan kemenangan tanpa bertanding beliau selaku presiden PSM baru-baru ini.

"Kita tidak mahu kelancaran AGM pada Ahad ini terganggu jika sesetengah pihak tidak berpuas hati, jadi exco PSM sebulat suara menangguhkannya walaupun segala persediaan telah dibuat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad berkata penangguhan itu juga akan membuka peluang kepada pihaknya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik serta membaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

"Penangguhan AGM terbabit adalah sah berdasarkan perlembagaan PSM yang mensyaratkan ia perlu diadakan di dalam tempoh 18 bulan selepas AGM yang terakhir diadakan (28 Dis 2008). Jadi tarikh akhir untuk kami melakukan AGM adalah pada 27 Jun tahun ini," katanya.

Ahmad sebelum ini diumumkan menang tanpa bertanding bagi penggal 2010-2013 berdasarkan perlembagaan baru manakala pencalonan pencabar dari Kuala Lumpur dan Selangor, ditolak atas alasan tidak mendapat sokongan ahli gabungan lain.

Ahmad bagaimanapun berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PSM akan tetap diadakan esok malam.

"Antara agenda yang mungkin akan dibincangkan adalah mengenai tarikh baru AGM yang ditangguhkan itu serta tindakan disiplin kepada individu terbabit," katanya.

Ahmad merupakan presiden PSM yang keempat sejak ditubuhkan 25 Jun 1960 selepas Tan Sri Khir Johari, Datuk Ahmad Razali Ali dan Datuk Saidin Thamby. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain