suria

Kafa Kenal Pasti Tapak Stadium Baru Di Gading Galoh

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) sudah mengenal pasti tapak untuk pembinaan stadium baru di Gading Galoh, Machang yang dijangka hanya menelan belanja RM120 juta.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tapak seluas 12 hektar itu merupakan tanah milik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang terletak 25 kilometer dari Kota Bharu dan bersempadanan antara Machang dan Kota Bharu, berdekatan dengan Kem Desa Pahlawan.

Katanya, cadangan pembinaan stadium bola sepak itu hanya menelan belanja RM120 juta dengan kapasiti 30,000 penonton.

"Ianya hanya peringkat cadangan dan cadangan ini akan dibawa kepada Majlis Sukan Negeri Kelantan untuk membawa usul projek itu kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) pada 26 Februari bagi perancangan projek Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

"Kerajaan negeri ada juga mencadangkan tempat di Tunjong, dekat sini, tetapi kita tidak tahu sama ada itu tanah individu atau tanah kerajaan negeri kerana dalam RMK-10 hanya tanah milik kerajaan akan diberi keutamaan kelulusan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran logo baru tahun bola sepak Kelantan 2010.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob bahawa kerajaan negeri memperuntukkan sebidang tanah di bandar baru Tunjong untuk dijadikan tapak stadium baru Kelantan.

Annuar berkata, Kafa mempunyai rancangan untuk menguruskan stadium baru itu bagi memudahkan pihaknya membuat perancangan pembangunan bolasepak negeri.

"Kita sedang mengkaji prospek itu kerana tidak ada masalah untuk menjana RM100,000 hingga RM200,000 sebulan bagi pengurusan stadium baru. Malah ia akan menjimatkan wang kerajaan dengan Kafa menguruskan stadium itu," katanya.

Mengulas mengenai tahun bolasepak Kelantan, Annuar berkata, pelancarannya akan berlangsung pada 27 Februari ini dan akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra.

"Kita juga menyediakan pelbagai program sepanjang tahun termasuk seminar untuk rancangan jangka panjang bagi kecemerlangan bolasepak Kelantan dan pertandingan di peringkat zon dalam negeri untuk mencungkil pemain baru," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain