suria

Malam milik pemain negara

JOHOR BAHARU: Semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan oleh penonton di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) di sini apabila separuh pemain negara menguasai saingan suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia malam ini.

Seperti diramalkan, Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir berserta dengan teman wanitanya Wong Mew Choo yang memburu gelaran sulung dalam acara perseorangan wanita tahun ini.

Che Ee Hui dan Wong Pei Tty turut melangkah ke separuh akhir acara beregu wanita diiringi oleh beregu lelaki negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong.

Pada hakikatnya, Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan pilihan utama pada kejohanan ini, hanya memerlukan masa 22 minit untuk menewaskan pemain Jepun Kenichi Tago 21-9, 21-15 untuk menentang Hu Yun dari Hong Kong pada perlawanan separuh akhir esok.

Kali terakhir Chong Wei bertemu Hu ialah pada Kejohanan Piala Sudirman di Guangzhou, China, bulan lepas dan Hu, 28, mengakui ketangkasan lawannya itu.

"Dia (Chong Wei) masih sukar untuk dikalahkan," kata Hu.

Seorang lagi wakil negara pada acara itu ialah Wong Choon Hann, yang menewaskan pemain remaja China Gao Hun untuk berdepan dengan seorang lagi pemain China Chen Long. Dalam pada itu, Mew Choo memerlukan sokongan moral dari penonton sebelum berjaya mengecewakan pemain Singapura Xing Aiying 21-15, 21-17 pada saingan suku akhir sebelum berdepan dengan pemain China, Wang Xin, esok.

"Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini dan mengakui tahap prestasi saya agak suram ketika ini," kata Mew Choo.

Wang Xin, yang jarang beraksi di luar negara, layak ke separuh akhir selepas mengejutkan juara Terbuka Indonesia dan pemain pilihan kedua Sania Nehwal dari India 21-14, 21-10.

Pemain pilihan utama Pi Hongyan dari Perancis juga turut mara selepas mengatasi pemain Jerman Julian Schenk 21-19, 26-24. "Sudah lama tidak merasai kejayaan dan bangga layak ke separuh akhir selepas mengalami kekalahan pada pusingan awal di dua kejohanan sebelum ini," kata Hongyan.

Dalam pada itu gandingan Tan dan Khoo berjaya menewaskan beregu China, Sun Junjie dan Tao Jiaming 23-25, 2-18, 21-15 untuk menemui gandingan Indonesia Alvent Yulianto dan Hendra Gunawan pada perlawanan separuh akhir.

Turut mengiringi beregu negara ke separuh akhir ialah satu lagi beregu senegara Gan Teik Chai dan Tan Bin Shen yang akan menentang rakan sepasukan Mak Hee Chun dan Tan Wee Kiong.

Dalam acara beregu wanita pula, Pei Tty dan Ee Hui, gandingan pilihan utama di sini, menewaskan Rie Eto dan Yu Wakita dari Jepun 13-21, 21-15, 21-10 untuk menentang beregu Singapura Vanessa Neo dan Frances Lu. BERNAMA

Artikel Berikut

Kedudukan Liga Super

Artikel Lain