LANGKAWI: Skuad pelayar Malaysia akan meneruskan cabaran pada Kejohanan Remaja Asia di Singapura walaupun menerima arahan supaya menarik diri semalam berikutan virus Influenza A (H1N1).
Pengurus besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata, skuad pelayaran negara telah berada di Singapura lebih awal sejak dua hari lepas akan terus beraksi untuk mencapai sasaran mengutip dua pingat dalam kejohanan itu.
Malaysia diwakili Mohd Amirul Shafiq dan Khairuneeta Mohd Afendy, yang menyertai kategori Byte C2 pada kejohanan itu.
Mohd Afendy dalam email yang dikirimkan kepada Bernama Langkawi berkata pelayar negara dilatih menjaga kesihatan untuk menghindar wabak itu termasuk memberi penerangan jelas menjaga dan mengelak daripada dijangkiti penyakit, suntikan pencegah, merekod suhu badan setiap enam jam, meminum air secukup, mengelakkan diri dari tempat tumpuan dan cukup rehat serta tidur awal.
Mohd Afendy berkata di Singapura tahap kesihatan dikawal ke tahap maksimum, semua venue dikawal ketat, tiada seorang pun akan terlepas daripada pemeriksaan. Setiap atlet diberi jangkasuhu dan buku log bagi mencatat tahap suhu badan, kebersihan semua venue dipastikan cukup bersih dan selamat, katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata dua pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy dan Mohd Romzi Mohamad selamat tiba di Denmark untuk menyertai Kejohanan Laser Radial European, mulai 1 hingga 17 Julai ini. BERNAMA


