suria

Peluang cerah bagi Chong Wei

JOHOR BAHARU: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menerajui barisan pemain pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di sini malam ini.

Chong Wei dengan mudah mara ke peringkat seterusnya dengan mengenepikan pemain China Zhou Wen Long 21-18, 21-14 pada pusingan ketiga di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) semalam.

Laluan ke separuh akhir tidak menjadi halangan kepada Chong Wei apabila menentang pemain pilihan kelima, Kenichi Tago dari Jepun malam ini.

Selepas kekalahan pemain Indonesia Taufik Hidayat, Chong Wei hanya akan menerima tentangan dari pemain pilihan Chen Long dari China pada perlawanan akhir nanti.

"Saya melakukan banyak kesilapan pada perlawanan pembukaan malam ini tetapi berjaya mengawal keadaan dan selesa sepanjang saingan," kata Chong Wei.

Mengenai perlawanan suku akhir dengan Keninchi, Chong Wei berkata beliau sering bertemu dengan pemain Jepun itu dan kali terakhir memang ke atas lawannya itu pada Terbuka Switzerland Mac lepas.

Dua lagi pemain Malaysia turut layak ke suku akhir iaitu Wong Choon Hann, pemain pilihan kelapan, dan Tan Chun Seang.

Choon Han menewaskan pemain senegara Kuan Beng Hong 21-19, 21-16 manakala Chun Seang mengatasi seorang lagi pemain negara Yeoh Kay Bin 21-16, 21-13.

Choon Hann akan menentang pemain China Gao Huan manakala Chun Seang akan bertemu Chen Long di peringkat suku akhir.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain pilihan utama Pi Hongyan dari Perancis turut menempah tiket ke saingan sukur akhir selepas menewaskan pemain Jepun Taruno Megumi 21-18, 21-11 manakala pilihan kedua Sania Nehwal dari India terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pemain Thailand Intanon Ratchanok 18-21, 21-12, 21-8.

Sania akan menentang pemain China Wang Xin malam ini.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain