suria

[V] Mungkin kena potong belanja beli aiskrim... Bekas isteri tak setuju Sam Bunkface minta kurang nafkah anak

BEKAS isteri Sam Bunkface iaitu Aida Azira Hussin tidak bersetuju jumlah nafkah RM1,300 diterimanya sebelum ini dikurangkan kerana ia akan menyebabkan kehidupan anak mereka iaitu Maleeq, 6, tidak sempurna.

Aida, 36, berkata, sekiranya jumlah itu dikurangkan dia terpaksa mengurangkan makanan, permainan selain perlu menanggung aspek lain seperti bil penghawa dingin termasuk menyediakan tempat tinggal selesa untuk kanak-kanak tersebut.

"Kalau dikurangkan saya terpaksa kurangkan makanan dia, permainan, ais krim. Selain itu tempat tinggal juga kena selesa, contohnya penghawa dingin yang saya kira melibatkan bil (perlu dibayar).

samm - 1

Sam berharap keadilan akan berpihak kepadanya.

"Kalau dikurangkan jumlah RM1,300 itu mungkin saya tidak dapat berikan kehidupan sempurna," katanya.

Aida memberi jawapan itu ketika disoal balas peguam syarie, Liyana Sihar yang mewakili Sam selaku plaintif pada perbicaraan pindaan tuntutan nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada petang Selasa.

Sam atau Shamsul Annuar Baharom, 35, turut hadir pada perbicaraan itu ditemani isterinya, Eifa Ezrin Mohd Kushairi.

ARTIKEL BERKAITAN: Sam Bunkface tak abai nafkah walaupun pendapatan terjejas, kesal bekas isteri sukarkan jumpa anak

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sam Bunkface dan bekas isteri muncul di mahkamah, masing-masing kunci mulut isu nafkah anak

Dalam pada itu, Aida turut memberitahu mahkamah, RM1,300 yang diperolehi daripada bekas suami sebelum ini digunakan untuk membayar keperluan anak mereka termasuk insurans, perubatan dan makanan.

Sementara itu, Sam berharap keadilan akan berpihak kepadanya selain menyerahkan keputusan kepada pihak mahkamah dalam menentukan permohonan dibuat sebelum ini.

"Harapan saya ialah keadilan diberikan. Saya cuma mencari keadilan dan Insya-Allah mahkamah yang mulia ini akan tentukan," katanya.

Kes yang dibicarakan dihadapan Hakim Syarie Shukran Yusof ditangguhkan pada 26 Jun ini.

Kalau dikurangkan saya terpaksa kurangkan makanan dia, permainan, ais krim. Selain itu tempat tinggal juga kena selesa, contohnya penghawa dingin yang saya kira melibatkan bil (perlu dibayar).

AIDA AZIRA

BEKAS ISTERI SAM

Ditanya sama ada dapat bertemu anak lelakinya pada sambutan Aidilfitri lalu, Sam menzahirkan rasa syukur dan memberitahu semuanya baik setakat ini.

Pada 3 April lalu, Sam dan Aida hadir ke mahkamah sama bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka.

Aida tidak bersetuju dengan permohonan dibuat penyanyi terbabit, selain meminta bukti andai tidak mempunyai pendapatan atau tawaran persembahan seperti dikatakan.

Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida yang juga penerbit rancangan sebuah stesen televisyen pada 25 April 2015, namun bercerai empat tahun kemudian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain