suria

[V] Puteri Sarah buat pendedahan mengejut pernah jadi mangsa pukul Syamsul

PELAKON Puteri Sarah Liyana membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa pernah dipukul oleh suaminya, pengarah filem Syamsul Yusof pada tahun 2020.

Puteri Sarah, 38, berkata, dia terpaksa mendedahkan perkara itu kerana Syamsul enggan melafazkan cerai terhadapnya pada sebutan pertama kes berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa.

"Saya tidak mahu membuka cerita mengenai kejadian itu. Akan tetapi Syamsul tidak mahu melepaskan saya," katanya.

Sarah11 - 1

Sarah ditemani peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Puteri Sarah membuat pendedahan tersebut ketika ditemui sekumpulan wartawan sejurus selepas prosiding mahkamah selesai.

Bercakap lanjut mengenai perkara itu, Puteri Sarah menjelaskan dia tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana masih wujud rasa cinta terhadap Syamsul.

Menurut Puteri Sarah, ibu mentuanya, Datin Patimah Ismail antara individu yang membantu dia keluar dari rumah gara-gara kekasaran dilakukan Syamsul.

ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul Yusof enggan cerai Puteri Sarah, mahkamah perintah lantik Jawatan Kuasa Pendamai

ARTIKEL BERKAITAN: “Lama tak dengar suara saya, kan?” - Itu reaksi Syamsul ketika tiba di mahkamah kes sebutan cerai Puteri Sarah

"Masa itu tak buat (laporan) sebab sayang, bila orang kata saya buka aib ketika itu, saya tak nak buat apa-apa tindakan atau laporan polis. Saya tidak mahu buka aib malah tiada siapa tahu mengenai perkara itu.

"Yang selamatkan saya ketika itu adalah ibu mentua saya. Dia yang keluarkan saya dari rumah, tiga tahun lalu malah Syamsul pun tahu kenapa saya keluar dari rumah kami," ujarnya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, insiden berkenaan merupakan salah satu faktor anak guamnya keluar dari rumah.

Masa itu tak buat (laporan) sebab sayang.

PUTERI SARAH

PELAKON

Akberdin berkata, dakwaan nusyuz dibuat Syamsul adalah tidak berasas sama sekali.

"Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz).

"Jadi pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa sebenarnya berlaku dan selepas itu Puteri Sarah kembali ke rumah atas sebab jasa baik pihak keluarga mentua.

Sarah22 - 1

Mahkamah perintah Syamsul dan Puteri Sarah lantik Jawatan Kuasa Pendamai.

"Jadi Syamsul memberi andaian dan gambaran bahawa anak guam saya yang keluar rumah tanpa izin. Itu tidak betul sebab anak guam saya ada asas," katanya.

Pada prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas itu, Syamsul enggan menceraikan Puteri Sarah. Sehubungan itu mahkamah memerintahkan kedua-dua mereka melantik wakil Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).

Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, diwakili peguam syarie Roshdan Sujak.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

SARAA1 - 1

Puteri Sarah tidak rela hidup bermadu.

Permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul telah mendedahkan bahawa dia telah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand berwakil walikan ayahnya, Kazar Saisi.

Rentetan itu, Sarah menerusi Instagram memohon agar Syamsul melepaskannya kerana tidak rela hidup bermadu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain