suria

Hang Tuah sangkal dakwaan Hang Jebat fail saman sebab dendam, mahu harta Jins Shamsuddin dibahagi secara faraid

Hang Tuah sangkal dakwaan adiknya, Hang Jebat.

ANAK kedua pelakon Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Hang Tuah menyangkal dakwaan adiknya, Putera Hang Jebat berhubung tuntutan saman yang dibuat sebelum ini berunsurkan dendam.

Hang Tuah atau Hang Tuah @ Shazrin Mohamed Jin, 49, sebaliknya menjelaskan tuntutan yang dibuat ke atas sebidang tanah yang terletak di Ulu Kelang pada 2019 hanya ingin menegakkan keadilan kepada semua pihak terlibat.

"Saya dan Jefri (abang sulung) menuntut untuk mengembalikan tanah yang telah dijual kepada estet arwah dan ingin membahagikan harta peninggalan bapa kami mengikut faraid.

"Untuk membahagikan faraid kami perlu mengumpulkan semua harta milik Allahyarham terlebih dahulu sebelum pembahagian dibuat. Tapi sekarang kami pula dituduh macam-macam sedangkan kami mahu ia dibuat secara adil dan saksama.

Hang Tuah 2

Hang Tuah mahu harta peninggalan bapanya dibahagi mengikut faraid.

"Kalau ikutkan, saya tak dapat pun tidak mengapa, tapi saya kasihankan abang sulung saya yang langsung tidak mendapat apa-apa," katanya kepada mStar.

Hang Tuah menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Pada 2019, Hang Tuah dan Jefri memfailkan saman terhadap Hang Jebat, 36, atas dakwaan memalsukan dokumen Surat Wakil Kuasa sebidang tanah seluas 0.265 hektar yang terletak di Ulu Kelang.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah Jins Shamsuddin berharga RM2.75 juta, Hang Tuah, abang saman Hang Jebat

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya Anak Jins Shamsuddin Yang Sah" - Hang Tuah

Hang Tuah memberitahu tanah tersebut telah dijual dengan harga RM2.75 juta pada 2015 kepada defendan ketiga iaitu Barakatul Kamaria Ahmad tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun, Hang Jebat memaklumkan berjaya mengetepikan kes itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Januari lalu memutuskan Surat Wakil Kuasa berkenaan adalah sah.

Saya dan Jefri (abang sulung) menuntut membahagikan harta peninggalan bapa kami mengikut faraid.

HANG TUAH @ SHAZRIN MOHAMED JIN

Menerusi temu bual bersama sebuah media, Hang Jebat mendakwa Hang Tuah berdendam dengannya selepas menegur tindakannya tidak menziarahi arwah bapa mereka ketika hayatnya.

Selain itu, Hang Jebat turut meluahkan rasa kesal terhadap abangnya itu yang tidak pernah mengambil tahu mengenai bapa mereka namun tiba-tiba menuntut hak sama rata ke atas tanah berkenaan.

Dalam pada itu, Hang Tuah berkata, dia tampil membuat sidang media berkenaan bagi membersihkan namanya selepas timbul beberapa dakwaan menerusi kenyataan dibuat adiknya itu kepada media.

Malah katanya, dia kini dalam pertimbangan untuk membuat rayuan berkaitan keputusan kes Surat Wakil Kuasa baru-baru ini.

Hang Tuah 3

Hang Tuah akan pertimbang untuk buat rayuan di mahkamah berhubung keputusan Surat Wakil Kuasa yang berpihak kepada adiknya.

"Menang atau kalah itu kuasa Allah, saya bukannya nak mempertikaikan keputusan mahkamah tapi mereka yang bising dahulu (kenyataan kepada media).

"Saya tak nak kalau saya tidak buat penjelasan, sampai akhir imej saya akan tercalar. Saya dah kena teruk di media sosial, mereka yang memulakan dahulu," katanya.

Sementara itu, Hang Tuah berkata, hubungannya dengan Hang Jebat sejak kecil baik malam menyangkal dakwaan bahawa dia tidak menziarahi bapanya semasa hayatnya seperti didakwa.

Hang Tuah

Hang Tuah berharap isu berkenaan dapat diselesaikan.

"Hubungan saya dengan Jebat tiada masalah, sejak kecil hubungan kami macam adik dan abang.

"Setiap tahun kami memang berjumpa bila balik kampung, saya pun tak tahu kenapa dia bersifat demikian," ujarnya.

Untuk rekod, Jefri adalah anak sulung hasil perkahwinan arwah dengan bintang legenda, Allahyarham Rahmah Rahmat. Manakala, Hang Tuah pula anak kedua arwah menerusi perkahwinan dengan Jamilah Shukor pada 1973.

Menerusi perkahwinan dengan Puan Sri Halijah Abdullah Allahyarham dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nedim.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain