suria

[V] Keputusan selesai luar mahkamah yang terbaik, Idris Khan tak tolak terus kerjasama dengan A. Aida  

PELAKON Idris Khan menganggap tindakan untuk menyelesaikan kes melanggar kontrak dengan penerbit Datuk A. Aida secara baik di luar mahkamah adalah keputusan terbaik.

Idris atau Idris Khan Abdul Ghaffar Khan, 33, berkata, persetujuan di antara mereka berdua secara tidak langsung memudahkan mencari titik jalan penyelesaian tanpa perlu melalui proses perbicaraan yang panjang.

"Kedua-dua pihak bersetuju mencapai kata sepakat pada hari ini.

"Ini bagi saya satu pengadilan yang adil dan saksama ke atas diri saya di mana pihak-pihak tidak perlu memanjangkan proses malah status quo di dalam kes ini tidak disekat,"katanya.

Aida Idris X

Idris dan A. Aida tak tolak jalin kerjasama pada masa hadapan.

Pelakon tersebut mengulas perbicaraan mahkamah hari ini menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.

Terdahulu, Idris dan A. Aida atau Zaidah Awang hadir ke Mahkamah Syeksyen Kuala Lumpur pada Selasa bagi menghadiri perbicaraan hari pertama kes berkenaan bersama aktres Amelia Henderson.

A. Aida selaku plaintif bagaimanapun menarik balik saman terhadap Idris sebagai defendan kedua tanpa kebebasan memfailkan semula kes tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: A. Aida, Idris Khan setuju selesai kes langgar kontrak luar mahkamah... Amelia Henderson terus lawan

ARTIKEL BERKAITAN: Amelia Henderson yakin tidak bersalah, mahu terus ‘lawan’ A. Aida... hormat Idris Khan selesai luar mahkamah

Menerusi perbincangan antara kedua-dua pihak, Idris berstuju memulangkan wang pendahuluan membintangi drama itu yang diterimanya sebelum ini sebanyak RM3,780 kepada A. Aida sebagai penyelesaian luar mahkamah selain tidak boleh memfailkan saman malu terhadap penerbit berkenaan.

"Saya perlu memberikan balik wang pendahuluan sahaja kepada beliau, dan tidak ada apa-apa pengakuan dari pihak beliau mahupun pihak saya ke atas liabiliti di dalam kes ini.

"Keputusan ini dibuat selepas perbincangan secara menyeluruh dengan pihak peguam saya Jason Wee dan pihak A. Aida," katanya.

Pihak kami telah menjalani perbicaraan pada pagi ini untuk membela hak dan diri saya.

IDRIS KHAN

PELAKON

Sementara itu, Idris ketika ditemui mStar tidak menolak akan kembali berlakon dalam drama terbitan syarikat A. Aida Production pada masa hadapan.

Kata Idris, apa yang berlaku adalah salah faham dan ingin melupakan insiden tersebut memandangkan dia dan A. Aida adalah kenalan lama.

Untuk rekod, A. Aida mengambil tindakan undang-undang terhadap Idris dan Amelia selepas didakwa menarik diri pada saat-saat akhir daripada membintangi drama terbitan syarikatnya, A. Aida Production berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Penerbit itu menjelaskan tindakan diambilnya kerana kecewa dengan sikap tidak profesional kedua-dua pelakon itu sehingga menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian besar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain