suria

PU Syed buat permohonan maaf secara terbuka, tak halang Caprice ingin dedah rahsianya

PU Syed membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Caprice.

PENDAKWAH bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Syed membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Caprice susulan mengaitkan nama isteri penyanyi rap berkenaan dalam satu hantaran di Instagram pada Jumaat.

PU Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak, 40, berkata, dia memohon maaf sekiranya kenyataan dibuat memberi kesan negatif kepada Caprice dan telah memadam hantaran tersebut.

"Saya dengan ini akan menurunkan catatan yang mana di dalamnya ada menyentuh isu aurat isteri saudara Caprice dan memohon maaf jika di sana ada unsur-unsur negatif dan menganggu kehidupan saudara Caprice," katanya.

PU Syed berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook dan Instagram miliknya.

PU Syed membuat permohonan maaf menerusi Facebook miliknya.

Terdahulu, Caprice atau Ariz Ramli, 34, memberi tempoh 24 jam kepada PU Syed untuk membuat permohonan maaf secara terbuka selepas pendakwah bebas itu memintanya menguruskan soal aurat isterinya terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai perkara lain.

Menerusi hantaran sama, PU Syed turut menegur Caprice yang dilihat aktif melakukan siasatan sendiri apabila dikatakan terdapat mangsa yang mengadu kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Caprice tuntut PU Syed mohon maaf dalam tempoh 24 jam, tak teragak-agak dedah rahsianya pada umum

ARTIKEL BERKAITAN: PU Syed bersuara dituduh ‘membisu’ isu PU Azman, tegur Caprice urus aurat isteri dulu

PU Syed sebelum itu menyangkal dakwaan bersikap pilih bulu ekoran mendiamkan diri daripada mengulas isu melibatkan PU Azman yang berdepan dengan lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.

Dalam pada itu, PU Syed turut menyerahkan kepada Caprice sama ada ingin terus mendedahkan rahsia tentang dirinya seperti mana dinyatakan meskipun sudah membuat permohonan maaf.

Isu tentang diri ambe yang Caprice cuba dedahkan, terpulang kepada saudara (Caprice) untuk terus dedahkan atau tidak.

PU SYED

PENDAKWAH BEBAS

Kata pendakwah itu lagi, permohonan maaf yang dibuat bukan bermakna dia ingin menghalang tindakan tersebut.

"Manakala isu tentang diri ambe yang Caprice cuba dedahkan, terpulang kepada saudara (Caprice) untuk terus dedahkan atau tidak.

"Permohonan maaf ini bukanlah bermakna ambe nak pihak Caprice membatalkan hasrat pendedahan tersebut jika wujud dan melanggari batas syarak dan undang-undang negara," jelasnya.

Tambahnya, dia juga berlapang dada akan sebarang komen diterima daripada netizen sekaligus berharap mereka memperolehi hidayah Allah SWT.

PU Syed tetap berharap kes dalam perbicaraan tidak dijadikan perbincangan di media sosial.

"Kepada Allah sahajalah kita serahkan baik dan buruknya, Insya Allah. kepada netizen terima kasih atas komentar berbaur kejian dan fitnah semoga kita semua akan beroleh taufiq dan hidayah daripada Allah," katanya.

Sementara itu, PU Syed tepat berharap kes yang masih dalam siasatan tidak dijadikan perbincangan di media sosial sebaliknya terus diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti baharu.

"Dalam masa yang sama, ambe berharap agar sesuatu kes yang sedang berjalan di mahkamah tidaklah diulas lagi dan jika wujud bukti-bukti baru melibatkan sesiapa pun, sila hadapkan ke muka pengadilan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Caprice memaklumkan sudah memadam semua hantaran mengenai PU Syed daripada Instagram selain turut memohon maaf dengan caranya memperjuangkan sesuatu isu.

Kata Caprie, dia juga sentiasa terbuka untuk mana-mana pendakwah atau ustaz yang ingin bertemu dengannya dan mangsa serta kes yang boleh merosakkan umat Islam di Malaysia.

"Saya harap kita boleh sama-sama satu meja kopi dan rapatkan saf daripada nak bermusuh. Ayuh sama-sama bekerjasama untuk menyelamatkan umat," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain