suria

[VIDEO] “Saya kena terus menyanyi walaupun naik dengan imej negatif” - Da'i Syed jalani hidup seperti biasa sementara tunggu bicara

PIHAK pendakwaan sudah menyerahkan dua dokumen berkaitan laporan perubatan bagi tuduhan kes merogol seorang wanita berusia 23 tahun pada 11 September 2019 yang dihadapi pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rihaida Rafie di Shah Alam pada Selasa.

Nor Baizura memaklumkan dua dokumen itu adalah laporan perubatan daripada Hospital Shah Alam dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di Temerloh, Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Alhamdulillah makin gemuk, makin berisi” - Da’i Syed dah bersedia nak berdepan dakwaan di mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Terganggu tengok rambut kepuk-kepuk Da’i Syed... tapi siapa sangka, dalam senyum ada duka

"Bagaimanapun satu lagi dokumen laporan perubatan daripada Hospital Kajang belum dapat diserahkan dan akan diberi kepada pihak pembelaan dalam masa terdekat," katanya.

Dalam prosiding itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal atau Da'i Syed mengesahkan menerima kesemua dokumen berkaitan.

Pendakwah selebriti ini hadir ditemani peguam, Syed Amirul Syed Edros.

Berikutan itu mahkamah menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes dan pada tarikh itu juga beberapa dokumen tambahan akan turut diserahkan.

Sementara itu Syed Shah Iqmal, 26, ketika ditemui selepas prosiding berkata dia sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk membela diri.

Bagaimanapun sebagai seorang selebriti, dia perlu meneruskan kehidupan seperti biasa sementara menunggu proses di mahkamah berlangsung.

Saya kena jalani hidup macam biasa, buat engagement dengan peminat.

DA'I SYED SHAH IQMAL

PENDAKWAH

"Saya rasa sedih dan sebagainya tapi saya kena reda dan terus nyanyi macam biasa walaupun naik dengan imej negatif.

"Saya kena jalani hidup macam biasa, buat engagement dengan peminat walaupun dengan keadaan macam ni," ujar Syed Shah Iqmal.

Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penganggur di sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam.

Mengikut pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol mangsa kira-kira pukul 11.35 malam, 11 September 2019 di Hyde Tower, I-City.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Syed Shah baharu saja melancarkan single terbaharu berjudul Ya Habib.

Selain di Shah Alam, Syed Shah Iqmal turut berdepan dua lagi tuduhan berkaitan jenayah seksual di Mahkamah Petaling Jaya.

Di Mahkamah Sesyen, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, pendakwah itu didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain