suria

Nabila Razali dituduh gadai maruah untuk dapat ‘job’ - “Saya dan team hanya buat kerja, kami tidak pernah ganggu sesiapa”

Nabila akui berasa sedih ketika membaca mesej berbaur hinaan dan fitnah terhadap dirinya.

MENERIMA mesej berbaur hinaan dan difitnah melakukan perbuatan tidak senonoh, pelakon dan penyanyi Nabila Razali mengakui kecaman tersebut menjejaskan emosinya.

Menurut Nabila, 28, dia tidak pernah mempertikaikan rezeki orang lain dan menegaskan kejayaan yang dicapainya kini datang daripada hasil kerja kerasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian 'terkucil' Nabila Razali salahkan diri sendiri, rakan artis beri kata-kata semangat - “Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya”

"Kecaman bukanlah perkara baharu tapi kali ini paling membuatkan saya sedih. Saya kata saya tidak pernah mempertikaikan rezeki orang lain.

Nabila berkongsi paparan skrin mesej individu tersebut di laman Twitter.

"Saya bekerja sangat keras untuk sampai ke tahap ini. Ramai yang DM (mesej langsung) beri kata-kata semangat dan minta saya untuk mengabaikan mesej sebegini.

"Tapi sebagai manusia biasa tipulah kalau saya katakan tidak terkesan dengan komen berunsur kecaman dan ugutan seperti ini. Kata-kata kesat yang dilemparkan sangat tidak boleh diterima oleh mana-mana individu pun.

"Saya dan team hanya buat kerja kami dan tidak pernah menganggu sesiapa. Untuk masa depan... saya harap tiada lagi komen sebegini," katanya kepada mStar.

Nabila berkongsi paparan skrin mesej daripada pemilik akaun Instagram yang menuduhnya tergamak melakukan perkara tidak senonoh untuk mendapatkan tawaran berlakon di stesen televisyen.

Ramai yang DM beri kata-kata semangat dan meminta saya untuk mengabaikan mesej sebegini.

NABILA RAZALI

PENYANYI & PELAKON

Malah, individu tersebut juga menghina fizikal dan suara penyanyi lagu Peluang Kedua itu yang disifatkan seperti watak kartun.

"Hoi sun**! Kau mengangkang kat orang TV3 mana yang dapat job berlakon ha? Dah la muka hodoh hitam, hidung besar pun boleh jadi heroin.

"Nyanyi pun macam kartun nak berlakon. Isk geli! Tengok teaser pun meluat dengan suara kartun kau tu. Tolonglah cermin sikit muka tu sedar diri kau tak berbakat.

"Kau hidup pun makan duit haram sebab tak ada bakat. Kenapa la kau tak mam*** saja!" tulis individu itu.

Nabila mohon maaf sekiranya ada menggores hati mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Nabila memohon maaf sekiranya ada menggores hati mana-mana pihak sepanjang berada dalam industri dan berharap tiada lagi komen atau mesej seperti itu lagi di masa hadapan.

"Saya juga minta maaf jika ada menggores hati mana-mana pihak sepanjang saya berada dalam industri," ujarnya.

Sebelum ini, pelakon drama Seindah 7 Warna Pelangi itu pernah beberapa kali berdepan dengan kecaman terhadap nyanyian dan lakonannya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain