suria

Rezeki artis tak berkat? Johan As'ari jawab pandangan Zul Yahya - “Cukup kalau kita kerja kerana Allah, direstui ibu bapa dan tahu ia halal”

Johan As'ari jelas keberkatan datang daripada sumber rezeki yang halal.

SEJAK beberapa hari lalu dunia hiburan seakan menerima tamparan hebat selepas pelakon senior Zul Yahya mengajak penggiat industri agar meninggalkan kerjaya masing-masing.

Kata Zul, 47, sudah tiba masanya pekerja industri filem dan drama dalam kalangan kru produksi dan teknikal belakang tabir untuk mencari sumber pendapatan yang lebih diberkati Allah.

Dek kerana itu, maka ramai juga anak-anak seni yang melenting kerana tidak bersetuju dengan mesej yang ingin disampaikan Zul.

ARTIKEL BERKAITAN: “Banyak kaki ampu, rasuah, fikir keuntungan peribadi” - Zul Yahya ajak pekerja belakang tabir tinggalkan industri, cari kerja lebih berkat

Bagaimanapun pelakon Johan A'ari dilihat tenang dengan seruan Zul dan menerimanya dengan hati terbuka.

"Sebenarnya apabila saya selami kembali seruan Zul itu, saya dapat rasakan ia bersifat kasih sayang. Dia kasihan dengan jerih perih pekerja belakang tabir yang mengalami kesukaran dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Jadi rasanya tidak perlu kita menyalahkan mana-mana bidang pekerjaan, yang penting kerja yang dilakukan itu halal," kata Johan kepada mStar.

Perkongsian Zul Yahya di Instgram menerima pelbagai respons.

Johan berkongsi pandangannya menerusi rancangan mStar Live+ di Facabook pada Rabu.

Ujar pelakon filem Juvana ini lagi, soal keberkatan itu sebenarnya bergantung kepada niat seseorang itu.

"Tak wajar untuk kita pukul rata semua pekerja industri hiburan. Isu keberkatan ni lebih baik kita tepuk dada dan tanya hati.

"Keberkatan itu pasti dirasai apabila kita gembira dengan hasil kerja sendiri dan yang penting jangan pernah ada prasangka terhadap sesiapa," tambah Johan.

Ulasan Johan sebagai pelakon generasi muda itu boleh ditonton kembali di Facebook mStar.

Selain isu mengenai kenyataan Zul Yahya, pelakon Siti Elizad juga muncul dalam rancangan tersebut bercerita mengenai tips untuk cepat khatam al-Quran.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain