suria

Telefilem kontroversi 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' masih belum tayang, Fadzil Zahari mohon penjelasan RTM

Fadzil Zahari meluahkan rasa kecewa tayangan Demi Tuhan Aku Bersaksi ditangguh sehingga kini.

TELEFILEM yang pernah mencetuskan kontroversi apabila mengangkat aktiviti songsang iaitu Demi Tuhan Aku Bersaksi masih belum ditayangkan biarpun sudah setahun mendapat kelulusan tayangan.

Penerbitnya, Fadzil Zahari, 37, meluahkan rasa kecewa dan meminta penjelasan daripada pihak stesen televisyen RTM.

ARTIKEL BERKAITAN: Berani bikin drama LGBT, Fadzil Zahari 'bongkar' aktiviti songsang pelajar IPT

ARTIKEL BERKAITAN: NGO rayu tangguhkan tayangan drama LGBT, minta RTM jemput wakil agamawan untuk pratonton terlebih dahulu

"Sepatutnya telefilem itu ditayangkan tahun lepas. Ia ditangguh ke tahun ini namun masih tiada tarikh yang ditetapkan.

"Kami ada bertanya kepada pihak RTM tentang tarikh baru itu tapi masih tidak dapat jawapan yang pasti dari mereka," ujarnya kepada mStar.



Syafie Naswip bawa watak maknyah yang ingin kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.

Pemilik syarikat produksi Prokuya Studios itu berkata, tujuan dia berkongsi entri itu berikutan ramai yang mula bertanya menngenai telefilem tersebut.

"Ramai yang mula bertanya bila telefilem itu akan ditayangkan. Kami pun tidak dapat menjawab soalan itu, kerana itu saya kongsikan isu ini di laman Instagram," jelasnya.

Tambahnya, rugi jika Demi Tuhan Aku Bersaksi tidak ditayangkan kerana ia sarat dengan mesej positif selain dakwah yang disampaikan secara halus.

"Ia penuh dengan mesej yang positif jadi jika ia tidak ditayangkan, rugi la. Bagi saya, telefilem itu sudah terlalu lama disimpan dan apa-apa isu berkenaan pusat keagamaan atau budaya hidup songsang juga sudah jarang dibincangkan jadi tidak salah untuk ditayangkan.

Dakwah dalam telefilem ini disampaikan secara halus.

FADZIL ZAHARI

PENERBIT

"Penonton mungkin tidak berminat dengan karya-karya berunsur dakwah tetapi dakwah dalam telefilem ini disampaikan secara halus yang mampu menarik perhatian penonton," katanya.

Mengulas isu ini, Fadzil berkata, telefilem itu turut mendapat maklum balas positif beberapa agamawan termasuk Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pensyarah Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin.

"Maklum balas yang kami terima sangat baik malah mereka sendiri ada menyatakan yang telefilem ini tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pusat tahfiz. Ia tiada elemen mengangkat LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender)," jelasnya.



Demi Tuhan Aku Bersaksi dapat kelulusan panel RTM serta telah dipertonton oleh agamawan.



Demi Tuhan Aku Bersaksi mengisahkan tentang seorang maknyah yang ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali bertaubat serta mendalami ilmu agama.

Watak maknyah yang dipegang Syafie Naswip membuat keputusan masuk ke pusat tahfiz. Namun ketika di pusat tahfiz, dia telah dihina dan dikeji sebagai pengikut kaum Luth.

Sebelum ini, gambar dan sinopsis telefilem ini tersebar di laman sosial sehingga ia menerima kecaman netizen kerana dianggap tidak sensitif gara-gara mengangkat elemen budaya hidup songsang di dalam sebuah pusat keagamaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain