suria

Apa status Ahmad Idham sebagai CEO Finas? Persatuan seni gesa KKMM campur tangan, beri penjelasan segera

Ahmad Idham didakwa direhatkan daripada menjalankan tugas sebagai CEO Finas.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) diminta memberi penjelasan berkaitan dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadri direhatkan daripada tugasnya bermula 4 Disember lalu.

Menerusi kenyataan kepada mStar, tiga persatuan seni tampil meluahkan rasa bimbang dengan kemelut dalaman yang boleh menjejaskan agensi kerajaan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah filem Ahmad Idham dilantik CEO Finas

Persatuan yang terdiri daripada Penerbit Televisyen Malaysia, Seniman Malaysia dan Animasi Malaysia ini juga meminta KKMM menyelesaikan kemelut dalaman antara Ahmad Idham dan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac.

"Situasi ini tidak pernah berlaku dan ia merupakan satu perkara serius kepada agensi kerajaan yang menjaga hal ehwal industri kandungan kreatif tempatan.

"Kami juga mahu KKMM selesaikan kemelut dalaman antara Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Finas serta melihatkan kembali komposisi Ahli Lembaga Pengarah Finas yang sepatutnya mempunyai pengalaman dan mampu memberikan nasihat bagi memastikan Finas di landasan yang betul dalam membantu memajukan industri kandungan kreatif tempatan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Idham bersama Pengerusi Finas, Hans Isaac.

Selain itu, mereka turut mencadangkan satu badan bebas yang terdiri daripada wakil persatuan dan pakar perundangan dilantik sebagai ahli penal jawatankuasa yang menyediakan laporan keseluruhan peranan Finas mengikut Akta 244.

"Pihak kami mencadangkan satu badan bebas terdiri daripada wakil persatuan dan pakar perundangan ditubuhkan segera bagi menyediakan laporan kepada pihak KKMM.

"Isu yang berlaku dalam Finas bukan sahaja isu Ketua Pegawai Eksekutif, Pengerusi Finas, serta Lembaga Penasihat tetapi laporan keseluruhan tentang peranan Finas mengikut Akta 244," ujarnya.

Baru-baru ini, laporan Astro Awani mendedahkan maklumat dalaman bahawa Ahmad Idham direhatkan daripada menjalankan tugas-tugas CEO selama tiga bulan bermula minggu ini dan bakal dipangku oleh Timbalan Ketua Pengarah Finas, Subaidah Md Top.

Bagaimanapun, pengarah filem Jangan Pandang Belakang itu menerusi laporan media menafikan dakwaan tersebut dan enggan memberi sebarang kenyataan lanjut berhubung dakwaan itu.

Ahmad Idham dilantik sebagai CEO Finas pada 14 Mac lalu dan diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo.

Pelantikan Ahmad Idham adalah bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa pada 11 Mac lalu.

Ahmad Idham

Artikel Lain