suria

“Fitnah mungkin kerana dendam isteri tak beli rumah dengan dia” - Da'i Farhan jawab dakwaan nikah janda anak lapan secara rahsia

Nik Farhan tampil menafikan dakwaan Ches mengenai rumah tangganya.

JUARA rancangan dakwah Da'i musim kedua iaitu Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad menganggap tuduhan yang dilemparkan seorang individu dikenali sebagai Ches Al-Maliki berkaitan hal rumah tangganya sebagai sebuah fitnah.

Nik Farhan berkata, Ches yang juga rakan baik isteri pertamanya iaitu Fatin bertindak demikian bagi membalas dendam dan tidak menerima hakikat bahawa wanita itu sudah reda untuk hidup bermadu.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa dah jadi? Da'i Farhan didakwa nikah janda anak lapan secara rahsia, isteri pertama pula sedang hamil

Nik Farhan turut memuat naik paparan skrin isteri pertamanya memohon maaf.

"Astaghfirullah, mungkin kerana dendam saya tak izin isteri ambil ASB Financing CIMB dengan dia, tak izin isteri beli rumah dengan dia, tak boleh melihat isteri saya terima hakikat hidup bermadu menyebabkan dia meroyan dengan viralkan perkara fitnah yang telah berlalu.

"Moga gambar Whatsapp isteri saya dengan dia pada 1 November yang lalu menjawab segala fitnah yang dia viralkan," tulisnya menerusi Instagram pada Selasa.

Nik Farhan turut memuat naik paparan skrin perbualan yang menunjukkan Fatin telah memohon maaf kerana membuka aib suami sendiri kepada orang lain dan mempercayai fitnah yang telah tersebar.

Sebelum ini, Nik Farhan mendedahkan sudah bernikah dengan seorang janda anak lapan di Tanah Suci, Makkah dan mendapat perhatian netizen di laman sosial.

Da'i Farhan bernikah dengan isteri kedua di tanah suci, Makkah.

Bagaimanapun pada Selasa, Ches menerusi Facebook mendakwa kononnya perkahwinan pendakwah bebas dengan isteri keduanya itu berlaku tanpa pengetahuan isteri pertama yang kini hamil 7 bulan.

Malah kata Ches, lebih memeritkan apabila isteri pertama Nik Farhan itu kini sedang sarat hamil anak kedua mereka.

Ches turut mendakwa dia pernah menghubungi janda anak lapan itu bagi menasihatkan agar menjauhi suami rakan baiknya itu namun tidak diendahkan.

Dalam pada itu, Nik Farhan menasihati netizen mengenai bahaya menjadi penyebar dan penyokong sesuatu fitnah tersebut.

Perkahwinan kedua Nik Farhan dengan janda anak lapan menarik perhatian netizen.

"Teman-teman sekalian ingatlah, manusia yang hebat mulia adalah manusia yang nyawanya telah terhenti, tetapi pahala untuknya tak pernah terhenti.

"Tetapi manusia yang malang dan hina adalah manusia yang nyawanya telah terhenti, tetapi saham dosa untuknya tak pernah terhenti.

"Itulah bahaya fitnah, penyebar dan penyokongnya. Maafkan daku ya Allah, insan yang hina lagi kerdil ini. Ampuni dosa hambaMu ini," katanya. 

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak