Stacy kecewa dilabel wanita akhir zaman - “Kadang-kadang rasa nak berhenti, tapi belum ada rezeki dalam hal sebegini” - Sensasi | mStar

Stacy kecewa dilabel wanita akhir zaman - “Kadang-kadang rasa nak berhenti, tapi belum ada rezeki dalam hal sebegini”

Stacy mohon maaf kepada mana-mana pihak yang kurang senang melihat penampilannya di ABPBH32.

PERSEMBAHAN penyanyi Stacy di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 pada malam, Ahad bukan sahaja mendapat pujian malah penampilannya turut menarik perhatian.

Rata-rata netizen menganggap pemakaian Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, 29, ketika membuat persembahan itu terlalu seksi seperti memperlihatkan kulit badannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Akim sedih tidak dapat beri hadiah hari jadi Stacy, “Biarlah dugaan dan ujian datang mencuba kita ni dijadikan iktibar”

Kesal dengan perkara itu, Stacy menerusi Instagram memohon netizen tidak melibatkan suaminya, Akim Ahmad atas kesalahannya yang tidak disengajakan.

Penjelasan Stacy mengenai penampilannya ketika membuat persembahan di ABPBH32.

"Jangan membabitkan saya punya sayang ok semua. Dia pun sibuk bekerja dan fokus dalam kerja dia. Semua kesalahan dan hal yang tak kena itu datang daripada saya saja.

"Semua orang pasti ada hari-hari yang tidak dijangka dan tidak ingin berlaku? Tadi benda tu jadi pada saya.

"Kain seluar tebal, longgar dan warnanya pula kuning tapi tak sangka pula bila buat persembahan atas pentas dengan pencahayaan, pergerakan dan macam-macam benda jadi lain.

"Nak komen tu janganlah ada yang melampau sangat. Saya ada suami dan keluarga juga tapi itulah nasib menjadi manusia bekerja dalam bidang begini memang risiko," katanya.

Kadang-kadang rasa dah nak berhenti dalam bidang ni tapi belum ada rezeki, masa yang sesuai dan kemampuan dalam hal sebegini.

Stacy

Penyanyi

Pada malam kemuncak ABPBH32, Stacy tampil dengan persembahan yang bertenaga menerusi lagu terbaharunya Khayal.

Biarpun persembahannya menerima banyak pujian namun penampilannya turut menjadi kritikan netizen di laman sosial.

Dalam pada itu, Stacy mendedahkan dia pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni namun masa tidak mengizinkan.

Stacy juga meluahkan rasa kesal terhadap segelintir netizen yang hanya tahu mencari kesalahan tanpa melihat niat sebenarnya untuk menghiburkan peminat.

"Kadang-kadang rasa dah nak berhenti dari bidang ni tapi belum ada rezeki masa yang sesuai dan kemampuan dalam hal sebegini.

Pemakaian Stacy mengundang kecaman netizen. Foto IG: @kimcylovers.

"Saya minta maaf kalau buat anda semua tergerak untuk memfitnah dan fikir macam macam. Saya rasa yakin nak menghiburkan orang dengan sehabis tenaga tapi lain pula jadinya.

"Tak boleh buat salah atau tak sengaja. Silap saja habis dilabel wanita akhir zaman. Yela orang yang komen hebat sebegitu memang tak pernah buat salah tapi kasihanilah manusia yang dapat hari tak best ini.

"Niat nak semangat untuk kembali bekerja mencari rezeki saja dan semua saya buat dalam kadar termampu dan ikhlas tapi bila jadi begini dengan sadisnya mulut-mulut manusia penghukum ni saya rasa sakit sangat pada suami dan keluarga," ujarnya.

Stacy bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan dan sentiasa melihat kerja kerasnya dalam membuat persembahan.

Acara yang menyaksikan pelakon Mira Filzah diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH32 itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Stacy , Akim Ahmad , ABPBH32

Artikel Lain