Sebab nak beli air isotonik untuk anak, Lan Pet Pet hilang sabar belasah Pak Ya - Sensasi | mStar

Sebab nak beli air isotonik untuk anak, Lan Pet Pet hilang sabar belasah Pak Ya

EPISOD hitam membabitkan pelawak Lan Pet Pet membelasah seorang pengawal keselamatan awal bulan lalu berakhir apabila kedua-duanya saling bermaafan antara satu sama lain.

Namun masih timbul persoalan mengenai bagaimana insiden pada malam 6 April lalu berlaku hingga Lan atau Mazlan Ahmad, 50, tergamak menumbuk mangsa, Yahya Manaf sebanyak tiga kali selain ditendang pada pinggang.

Menurut Lan, pada malam kejadian dia bergegas memasuki Taman Acacia, Desa Jaya di Nilai, Negeri Sembilan iaitu lokasi Yahya bertugas untuk membeli minuman isotonik untuk anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pak Ya bersara jadi ‘pak guard’, Lan Pet Pet kata “terima kasih transfer pahala”

ARTIKEL BERKAITAN: “Lan Pet Pet kena jumpa kami sekali” - Penduduk kumpul dana bantu 'Pak Guard' bayar peguam

"Anak saya ada acara sukan sekolah yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Saya tak sedap hati sambil tunggu acara melibatkan anak saya kerana kebiasaannya dia akan tidur awal.

"Tapi acara dia berlari sekitar 10.30 malam. Tenaga dia makin lemah sebab tunggu dari petang sampai ke malam.

"Saya keluar nak beli minuman isotonik... di situlah ada perselisihan faham masa bawa kereta," katanya.


Lan bersama Pak Ya dalam sidang media khas pada Selasa.

Bagaimanapun Lan memilih untuk tidak menceritakan secara penuh insiden berkenaan.

Lan dan Yahya atau Pak Ya ditemui pada sidang media khas 'Maafkan Kami' yang diadakan di ICafe Bikerstation, di Sungai Buloh, Selasa.

Mengulas lanjut, Lan sekali lagi meluahkan rasa kesal dan memohon maaf terhadap tindakan luar kawalan kepada Yahya.

"Saya ingin memaklumkan khususnya kepada peminat bahawa perkara ini sudah berlalu dan tidak perlu diungkit-ungkit lagi.

"Saya bertemu dengan Pak Ya (Yahya), kami sudah bermaaf-maafan antara satu sama lain. Semua dah jelas dan saling memahami dengan keadaan yang terjadi.

"Saya akui dihimpit rasa bersalah selagi tidak bertemu dan meminta maaf kepada Pak Ya sendiri, saya tidak tenteram dan tidak boleh tidur," ujarnya.

Biarpun sudah menerima hukuman denda daripada mahkamah, Lan berkata dia tetap membuat permohonan maaf sekali lagi kepada warga emas itu dan keluarganya, peminat dan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya berharap sangat semua pihak dapat maafkan saya yang kerdil ini. Setiap ujian Allah ada hikmahnya, InsyaAllah dengan berkat inisiatif muafakat kami ini saya akan menjadi seorang manusia yang lebih matang dan berhati-hati pada masa akan datang," ujarnya.

Lan bawa Pak Ya tunai Umrah.

Dalam pada itu, Lan dalam kenyataan media yang diedarkan turut meluahkan rasa sedih apabila teringat nasihat arwah bapanya yang mahu dia sentiasa menghormati orang tua.

"Arwah ayah selalu ingatkan saya supaya hormat kepada semua orang terutama orang lebih tua. Jika arwah ayah masih hidup, dia pasti kecewa dengan apa yang terjadi," ujarnya.

Selain itu pada sidang media sama Lan juga mengumumkan untuk membawa warga emas berkenaan bersama isterinya menunaikan umrah pada Disember depan.

Katanya, dia berjanji untuk menjaga pasangan itu seperti ibu-bapanya sendiri.

"Saya sudah minta keizinan anak-anak Pak Ya untuk membawa mereka ke Makkah pada Disember ini, saya berjanji untuk jaga mereka macam ibu-bapa saya sendiri," ujarnya.

Beberapa minggu lalu tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pelawak berkenaan mengasari pengawal keselamatan tersebut di sebuah pondok pengawal.

Menerusi video berkenaan, Lan menumbuk bahagian muka warga emas itu sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa kerana ditegur tidak membuat catitan dalma buku pelawat sebelum memasuki kawasan taman itu.

Akibat kejadian itu, pelawak berkenaan ditahan oleh pihak polis pada 7 April lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Selepas seminggu, Lan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan dan didanda sebanyak RM2,000.

Lan Pet Pet

Artikel Lain