Gimik lagi? Kali ini As’ad Motawh tersungkur ditarik peminat wanita - Sensasi | mStar

Gimik lagi? Kali ini As’ad Motawh tersungkur ditarik peminat wanita

As'ad tersungkur selepas ditarik peminat wanita ketika membuat persembahan di Kota Kinabalu, Sabah.

PENYANYI As’ad Motawh sekali lagi berhadapan insiden memalukan apabila ditarik peminat wanita hingga terjatuh dari pentas ketika membuat persembahan di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Menerusi posting di Instagram, insiden itu berlaku ketika As’ad mahu bersalaman dengan peminat wanita yang berada di bawah pentas.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama As’ad terpalit kontroversi sebegini terutamanya ketika menghiburkan peminat di tempat terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat wanita menerpa peluk As'ad Motawh

ARTIKEL BERKAITAN: Baru ada dua lagu, As’ad Motawh dah umum nak buat konsert jelajah

Bercakap mengenai insiden itu, penyanyi lagu Percaya ini menjelaskan dia mengalami kecederaan ringan akibat daripada kakinya terpijak selepas terjatuh.

Selain itu dakwa As’ad, beberapa barang peribadinya juga hilang dalam kejadian berkenaan.

Siri jelajah The Percaya Tour yang bermula 2 Mac lalu berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

“Sebenarnya mereka sudah mula cuba memegang dan menarik saya pada awal persembahan lagi.

“Tetapi entah di mana silapnya ketika menyampaikan lagu terakhir, tangan saya tiba-tiba dipegang dengan kuat lalu ditarik hingga tersungkur.

“Kaki saya mengalami bengkak akibat dipijak oleh mereka dan saya turut kehilangan cincin yang dipakai ketika itu,” kata As’ad kepada mStar Online.

Dalam pada itu, As’ad mendedahkan dia turut dikejar peminat ketika dalam perjalanan pulang ke hotel sebaik tamat persebahan tersebut.

Tambah As’ad, dia tidak menjangka lokasi terakhir siri jelajah persembahannya itu menerima sambutan luar biasa daripada peminat.

As'ad ketika dipeluk peminat wanita sewaktu melakukan persembahan di Petaling Jaya.

“Sejujurnya saya tak jangka sambutan di lokasi terakhir siri jelajah ini akan mendapat sambutan luar biasa sehinggakan saya turut dikejar oleh beberapa peminat semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, malah ada antara mereka yang sudah menunggu di lokasi saya menginap.

“Namun saya berasa amat bersyukur mempunyai peminat sebegitu rupa, mereka amat ‘supportive’ sehingga ada yang menangis ketika sesi ramah mesra yang diadakan selepas konsert tamat,” tambah As’ad.

Penyanyi yang mula terkenal dengan lagu Senyum ini memulakan siri jelajah The Percaya Tour bermula 2 Mac lalu di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya diikuti tiga lagi lokasi sekitar semenanjung.

Lokasi pertama jelajah tersebut turut melihat berlakunya adegan kontroversi apabila As’ad dipeluk oleh seorang peminat wanita yang secara tiba-tiba meluru naik ke atas pentas.

Artikel Lain

Agong bantu mangsa kemalangan