Haneesya, Haqiem bersuara isu sindir dalam muzik video, Drama Band tak boleh buat apa - Sensasi | mStar

Haneesya, Haqiem bersuara isu sindir dalam muzik video, Drama Band tak boleh buat apa

Antara salah satu babak dalam muzik video Drama yang didakwa menyindir bekas peserta Dewi Remaja Haneesya Hanee.

SINGLE terbaharu kumpulan Drama Band berjudul Drama yang dilancarkan pada Jumaat lalu dan didakwa mempersendakan kontroversi melibatkan beberapa selebriti tempatan nampaknya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat dan artis.

Babak memperlihatkan vokalis utamanya berpakaian wanita bersama tiara sebelum berparti di sebuah kelab membuatkan ramai menyamakan insiden itu dengan isu panas pertandingan Dewi Remaja yang melibatkan pesertanya Haneesya Hanee.

Haneesya dalam responsnya di InstaStory kecewa dengan tindakan Drama Band yang dianggap mempersendakan dirinya yang mana insiden itu telah meninggalkan kesan cukup mendalam dalam kehidupannya.

Malah katanya, penjelasan mengenai video itu bahawa ia tiada kena mengena dengan sesiapa disifatkan sebagai tidak masuk akal kerana ia jelas cuba mengaitkan dirinya.

Haneesya meluahkan rasa kecewa di InstaStory.

"Saya tertekan kerana perkara ini. Saya baru hendak sembuh dan anda buat video ini. Terima kasih.

"Tak kelakar langsung. Dah sedia nak kena kecam? Wah ingat benda ni suka-suka ke? Tak ada kena mengena dengan yang kena bahan? Wah.

"Saya harap band korang dapat la semua perhatian yang korang perlu," katanya.

Tidak hanya Haneesya, rakannya dalam pertandingan tersebut, Ernisha turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap muzik video itu yang jelas mempamerkan satu bentuk buli siber.

Single 'Drama' menghangatkan nama kumpulan Drama Band.

"Zaman sekarang ni nak buat rating naik kena guna aib orang ke? Ini sangat menyedihkan. Saya hilang rasa hormat kepada mereka sebagai orang lama. Buli siber semakin teruk," katanya.

Manakala penyanyi sensasi Haqiem Rusli turut sependapat dengan Ernisha apabila menyatakan bahawa buli siber adalah tidak bagus termasuk sindiran dalam muzik.

Menerusi muzik video itu juga, turut digambarkan seorang artis yang berkaca mata hitam sedang membuat carian di internet tentang cara memalsukan kemurungan.

Penonton terus mengaitkannya dengan Haqiem yang pernah mencetuskan kontroversi tahun lalu ekoran pengakuannya mengalami masalah kemurungan.

Ernisha dan Haqiem Rusli memberitahu buli siber adalah membimbangkan.

"Mungkin dahaga, mungkin. Cyberbullies it's not good. Lagi-lagi dalam bentuk sindiran dalam muzik. Mungkin terlupa keikhlasan dalam muzik. Mungkin.

"Jauh sudut hati aku memang kecil hati dan sedih tapi aku maafkan sahaja. Tweet ini hanya pendapat dan nasihat sahaja. Always positif ok," katanya.

Sementara itu, Drama Band dalam kenyataan di Instagram menjelaskan kisah dipaparkan dalam muzik video itu adalah rekaan semata-mata dan sekiranya ada pihak yang terasa ia adalah diluar bidang kuasa mereka.

Mesej sama turut dimuat naik pada permulaan muzik video Drama di Youtube yang sehingga kini sudah pun mendapat 12,000 tontonan.

Usaha mStar Online untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada vokalisnya, Aepul juga tidak berjaya.

Drama Band , Drama , Aepul , Haneesha Hanne