suria

“Dia cabar kesabaran saya!” - Shiha mahu dedah wajah penghutang

Penyanyi Shiha memberitahu dia serik untuk memberi pinjaman wang terutamanya kepada orang yang dikenalinya.

PENYANYI Shiha Zikir memberitahu dia serik untuk memberi pinjaman wang kepada orang lain terutama dalam kalangan rakan-rakannya kerana sering ditipu.

Shiha, 31, berkata, insiden tersebut menyebabkan dia lebih berhati-hati kerana tidak mahu wang menjadi penyebab hubungan persahabatan yang terjalin musnah.

"Saya jadi trauma dan serik nak beri orang pinjam duit lebih-lebih lagi mereka itu saya kenal rapat.

"Bukan kedekut atau berlagak tapi saya tak mahu perkara itu akan merosakkan hubungan baik kami," ujarnya kepada mStar Online.

Shiha serik beri rakan pinjam duit.

Shiha mengulas tentang kejadian dia menjadi mangsa penipuan individu dikenalinya sehingga terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.

Penyanyi lagu Jagakan Dia ini ditemui pada majlis ramah mesra bersama peminat dan pelancaran Shihalens di Ligth Bulp, Sogo KL, pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Shiha berkata, bagi mengelakkan dia terus ditipu terutamanya oleh kenalan sendiri, dia lebih rela membantu seperti mengeluarkan modal untuk sesuatu bisnes.

"Kalau mereka tiada duit saya boleh bantu tapi bukan pinjam. Saya juga lebih suka mereka jadikan saya rakan kongsi untuk memulakan sesuatu bisnes," ujarnya.

Shiha akan dedah wajah penghutang.

Mengulas mengenai insiden ditipu tersebut, Shiha berkata, dia masih menunggu individu berkenaan tampil menjelaskan hutang berkenaan.

Kata Shiha, sekiranya individu itu masih berdegil, dia tidak teragak-agak untuk mendedahkan wajah dan maklumat terperinci mengenainya di laman sosial.

"Saya marah sangat dan tidak ada cara lain selain muat naik di media sosial kerana saya tahu dia baca... Penat mesej dan telefon tidak dibalas, saya cuba cari keluarga pun tidak membantu.

"Bila saya buat macam itu dia ada datang minta maaf dan janji untuk bayar tapi sekarang tak bayar dan hilang lagi. Dia betul-betul mahu menguji kesabaran saya," ujarnya.

Shiha Zikir

Artikel Lain