SELEPAS melalui kemelut rumah tangga penuh ujian, bekas suami kepada pelakon Farali Khan iaitu Qireen Din mengakui kehidupannya kini jauh lebih tenang selepas dua bulan sah bercerai.
Qireen atau nama sebenarnya Muhammad As’syaqireen Hasnoddin, 33, berkata hidupnya sebelum ini dipenuhi rasa terbeban dan tidak bahagia, namun detik itu sudah berlalu dan kini berasa lebih bersyukur dan lega.
"Alhamdulillah sekarang saya rasa seronok itu yang saya boleh rasa sekarang. Saya dah lalui hari-hari yang tak seronok jadi sekarang tinggal yang baik saja,” katanya kepada mStar.

Qireen kini lebih tenang.
Dia berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun mStar ke-20 dan Suria ke-18 yang berlangsung di taman tema Sunway Lagoon, Subang Jaya, Selangor.
Menurut Qireen, perceraian tersebut secara tidak langsung melepaskan beban emosi yang dipikul selama ini selain bebas daripada menanggung dosa isteri.
"Bahu saya rasa ringan, sudah tidak menanggung dosa orang lain iaitu dosa seorang isteri.
"Dalam rumah tangga, suami menanggung dosa isteri. Bila apa yang dibuat tidak sesuai dengan perintah Allah, sayalah yang pikul," luahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dalam diam rupanya Farali Khan sudah bercerai, bekas suami reda terima takdir... “Dua bulan saya menangis”
ARTIKEL BERKAITAN: Farali Khan puas berlakon babak aksi, pernah alami kecederaan sampai tak boleh bercakap
Tambah Qireen, pada ketika ini dia hanya mahukan ruang untuk dirinya menilai kelemahan diri dan memperbaiki kekurangan yang ada.
Selain itu, Qireen ingin memberi fokus kepada kerjaya demi masa depan yang lebih baik.
"Buat masa ini saya cuma nak fokus perbaiki kelemahan saya. Apa yang perlu untuk jadi lebih baik pada masa depan.
"Pada masa sama saya nak fokus semula pada kerjaya saya," ujarnya.
Sesiapa yang datang saya hargai
QIREEN DIN
MODEL
Mengulas mengenai soal pengganti, Qireen mengakui belum bersedia untuk mempunyai hubungan serius.
Dia turut memberitahu proses ‘move on’ tidak mempunyai garis masa tertentu, namun dia memilih untuk menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT.
"Saya tak fikir nak cari pengganti. Cukup sekadar berkawan. Sesiapa yang datang saya hargai, tapi untuk ke arah lebih serius bukan sekarang.
Farali dan Qireen berkahwin pada 2022 lalu.
"Saya pun tak tahu berapa lama masa diperlukan untuk move on. Semuanya saya serahkan kepada Allah dan saya terima saja," luahnya.
Untuk rekod, Qireen dan Farali berkahwin pada 1 September 2022. Namun sah bercerai pada Oktober lalu.
Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia dua tahun.


