PENYANYI rap Kmy Kmo berkongsi pengalaman dirinya berdepan dengan seorang pemandu e-hailing yang kelihatan mengantuk ketika dia menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Menurut Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, 36, insiden tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan ke sebuah lokasi pada awal pagi, sebelum menyedari pemandu terbabit beberapa kali hampir terlelap.
Kata Kmy lagi, dalam keadaan cemas itu dia sempat berseloroh mengatakan dirinya boleh membantu memandu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih berbahaya.

Kmy sanggup tawar diri memandu daripada membahayakan diri sendiri.
"Alamak, pertama kali dalam hidup saya dapat pengalaman macam ini, naik dengan pemandu yang mengantuk, siap boleh microsleep pula.
"Dia tak sedar ke yang saya ni boleh je tolong memandu untuk dia sambil nyanyi lagu Datuk M. Nasir?" katanya sambil berseloroh.
Kmy berkongsi cerita tersebut menerusi satu hantaran di platform Threads pada pagi Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: "Mati di sana itu manusia, bukan boneka kosong dibuat-buat” - Kmy Kmo rela hidup susah, tolak tawaran pro-Zionis
ARTIKEL BERKAITAN: Anak Kmy Kmo dijangkiti ‘chicken pox’ kali kedua, terpaksa ambil air tulang belakang
Bercerita lanjut, Kmy berkata situasi itu membuatkan dia benar-benar risau apabila melihat pemandu berkenaan gagal memberi fokus pada pemanduan.
Bagi memastikan pemandu itu kekal sedar, Kmy memberitahu dia cuba berbual dan memberikan gula-gula sebagai usaha mengelakkan insiden tidak diingini.
"Cuak juga bila tengok mata dia sekejap buka, sekejap tutup. Sekejap tekan minyak, lepas tu lepaskan pula.

Perkongsian di Threads milik Kmy.
"Saya cuba juga berborak dengan dia dan bagi gula-gula supaya dia segar sedikit," ujarnya.
Sementara itu, Kmy turut meninggalkan pesanan kepada orang ramai agar memberi keutamaan kepada keselamatan dan tidak memaksa diri untuk memandu jika berada dalam keadaan penat.
"Anda di luar sana, kalau badan penat, jangan paksa. Ingatlah orang yang tersayang,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


