PELAKON Zeera Azizi masih tidak berputus asa meneruskan kerjaya dalam bidang seni meskipun ada segelintir netizen yang perasan dia kerap muncul dalam pelbagai program hiburan.
Zeera atau Nurazeera Azizi, 29, berkata, semangatnya untuk terus mencari rezeki dalam industri hiburan tidak pernah pudar kerana percaya rezeki setiap individu sudah ditetapkan oleh Allah SWT.
Kata Zeera, tujuannya menyertai pelbagai program bukan semata-mata untuk mengejar populariti, tetapi lebih kepada membuka ruang dan peluang baharu yang mungkin mampu mengubah masa depannya.
"Cakap fasal putus asa, saya tidak pernah terfikir sampai macam itu. Rezeki Allah itu luas, kita tak tahu bila masa yang tepat Allah nak beri. Selagi kita berusaha jangan patah semangat.

Zeera menyertai Pencarian Penyampai Baharu Era 2025.
"Biarlah kalau orang cakap saya ni semua benda nak cuba. Apa salahnya? Rezeki kita kena cari bukan kena tunggu tanpa buat apa-apa kan.
"Paling penting sentiasa percaya dengan rezeki Allah. Dikenali atau tidak itu bukanlah sebab utama saya masuk macam-macam program tapi lebih kepada mahu mencuba perkara baru yang mungkin akan ubah hidup saya nanti," katanya ketika dihubungi mStar.
Dalam pada itu, Zeera mengakui sikapnya yang tidak mudah mengalah mungkin menjadi sebab netizen dapat melihat dirinya sering muncul dalam pelbagai platform hiburan.
"Saya ada juga baca komen netizen cakap saya ni ada saja dekat mana-mana. Sebelum ini saya pernah jadi pramugari, tapi makin lama kerja di awan biru saya semakin homesick jadi sebab itu saya berhenti.
ARTIKEL BERKAITAN: Zeera Azizi mengaku rapat dengan Zhiddin Aziz, dulu pengikut TikTok kini jadi peneman hati
ARTIKEL BERKAITAN: Intonasi bercakap mungkin penyebab salah faham, Zeera Azizi tak sokong pramugari persoal Fasha Sandha
"Jadi alang-alang saya dah ada dalam industri ini, saya cuba gunakan peluang yang ada untuk ceburi bidang baru pula. Memang sebelum ni saya berlakon dan sekarang pun masih lagi aktif.
"Cuma sejujurnya tawaran itu tak selalu ada dan kita hidup pun perlukan kewangan yang stabil. Jadi sebab itu bila ada pencarian penyampai baru Era FM ini, kenapa tidak saya cuba," katanya.
Walaupun ramai rakan seangkatannya sudah berjaya mencipta nama dalam industri, Zeera memberitahu dia tidak pernah berasa cemburu malah tumpang gembira melihat perkembangan kerjaya mereka.
Cuma sejujurnya tawaran itu tak selalu ada dan kita hidup pun perlukan kewangan yang stabil.
ZEERA AZIZI
PELAKON
"Saya tidak berasa cemburu kerana masing-masing punya rezeki yang Tuhan sudah tetapkan. Sudah tentu saya tumpang gembira lihat kawan-kawan dah berjaya walaupun saya masih lagi cuba untuk membina nama.
"Tapi saya sangat bersyukur kerana dapat sokongan moral daripada keluarga dan mungkin sebab itu juga saya tak pernah rasa patah semangat.
"Saya rasa sebab sikap tak putus asa ini juga buatkan netizen boleh nampak yang saya ini dah masuk macam-macam program dalam industri," katanya.

Zeera sebelum ini pernah menjadi pramugari.
Sebelum ini, seorang pengguna Threads memuat naik hantaran meluahkan pandangan mengenai Zeera yang dilihat kerap menyertai pelbagai program realiti seperti Dewi Remaja serta aktif berlakon drama, namun namanya masih kurang dikenali.
Individu berkenaan turut menyatakan rasa hairan kerana pada pandangannya, Zeera memiliki pakej lengkap termasuk berwajah cantik.
Zeera sebelum ini merupakan finalis Dewi Remaja 2018/2019 yang turut disertai Anna Jobling dan Haneesya Hanee.
Terkini, Zeera menyertai Pencarian Penyampai Baharu Era 2025 dan berjaya meraih tempat keempat.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


