ANGGOTA kumpulan Alpha, Ariel Fesol tidak pernah menyangka perjalanan seninya berubah secara drastik selepas dinobatkan juara Big Stage Alpha pada Jun lalu.
Ariel atau nama sebenarnya Muhammad Fhazrill Fesol, 27, berkata kemenangan itu membuka pintu baharu untuknya kembali menempatkan diri dalam industri hiburan selepas melalui pelbagai fasa turun naik.
"Saya dapat rasakan perubahan antara kerjaya seni dahulu dan sekarang. Syukur saya semakin diterima peminat.

Ariel turut meluaskan karier sebagai pelakon.
"Alhamdulillah saya anggap ini rezeki dan peluang kedua. Kini peminat mula menyedari kewujudan saya dalam industri seni berbanding permulaan kerjaya saya sewaktu usia kanak-kanak," katanya kepada mStar.
Menurut Ariel, dia mempunyai sasaran yang ingin dicapai dalam bidang seni namun tidak menyangka rezeki yang diterimanya kini lebih daripada apa yang diimpikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ariel Fesol juara Big Stage Alpha, 7 finalis jadi ‘boy group’ baharu... Bakal tampil di konsert Hael Husaini
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ariel Fesol buat keputusan berhenti jadi pramugara, fokus kejar impian bergelar penyanyi
"Saya ada meletakkan sasaran sendiri untuk berada dalam industri seni tetapi tak sangka pula apa yang saya harapkan itu Allah beri rezeki lebih luas.
"Saya bersyukur dan berterima kepada kepada peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan," ujarnya.
Bercerita mengenai perkembangan terkini, Ariel memberitahu meskipun masih menerima tawaran berlakon, fokus utamanya kini adalah pada kumpulan Alpha.
"Saya masih menerima tawaran berlakon tetapi buat masa ini saya mahu memberi fokus kepada Alpha.
"Setakat ini jadual kerja antara penggambaran drama dan persembahan pentas tidaklah terganggu. Semuanya diurus dengan baik.
"Kalau hari yang saya tiada persembahan nyanyian, saya akan ke set penggambaran drama," katanya.

Ariel kini merupakan anggota kumpulan Alpha.
Pada 15 Jun lalu, Ariel diumumkan sebagai juara Big Stage Alpha selepas menewaskan enam finalis lain.
Ketujuh-tujuh finalis itu bagaimanapun dipilih menjadi 'boy group' baharu yang diberi nama Alpha.
Selain Ariel, Alpha turut dianggotai oleh Rizal Rasid, Daniel Sher, Izzat Ibrahim, Ray-D, Araff dan Afiq Sky.
Sebelum menyertai Big Stage Alpha, Ariel juga merupakan finalis program realiti nyanyian kanak-kanak, Idola Kecil musim kedua pada tahun 2009.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


