ISTIMEWA untuk menghargai peminat, penyanyi Imran Ajmain bakal tampil dengan album baharu berjudul Sila Ambil Perhatian yang akan mengandungi 37 buah lagu pernah dihasilkan sebelum ini.
Kata Imran, 44, lagu-lagu dalam album itu merupakan koleksi yang diterbitkan semula dengan susunan muzik baharu dalam pelbagai versi.
Tambahnya, album itu juga boleh disifatkan sebagai hadiah buat peminat generasi muda yang mula mengenali karya nyanyiannya.

Imran berikan versi berbeza dalam lagu-lagu yang pernah dirakam sebelum ini.
“Boleh dikatakan saya akan belanja 37 buah lagu. Tapi lebih sesuai kalau saya cakap album ini untuk peminat muda.
"Ramai dalam kalangan mereka yang baru tahu lagu saya. Bila tampil dengan versi berbeza, mereka lebih terbuka untuk terima.
“Saya kumpulkan lagu-lagu lama dan terbitkan semula. Sebenarnya idea untuk buat pelbagai versi ini sudah lama. Rasanya sejak 10 tahun lalu. Saya ada banyak koleksi lagu lama dan sekarang mereka boleh dengar semula,” katanya ketika dihubungi mStar.
Menurut Imran, penghasilan album itu sudah mula dibuat sejak dua tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Imran Ajmain turun 33 kilogram dalam tempoh 2 tahun, tak bersenam amal diet ‘potong’ gula
ARTIKEL BERKAITAN: Imran Ajmain ada rasa takut rezeki melimpah ruah, sedar sedang berdepan ujian
Biarpun masih banyak lagu yang boleh diterbitkan kembali, namun dia tidak mahu menunggu lama dan merasakan 37 buah karya cukup memberi kepuasan kepada pendengar.
“Ada lagu yang tak sesuai atau belum siap sepenuhnya. Ada juga lagu yang saya patut bekerjasama dengan orang lain, namun mereka tidak menepati masa. Jadi saya berhenti pada 37 buah lagu untuk diterbitkan,” ujarnya.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah Selamat Ulang Tahun (Rafikoncept Remix), Ghaibmu II, Seribu Tahun (Piano Demo) dan Di Kalung Kasihan (Live At Malam Seribu Tahun).

Imran harap peminat dapat merasakan kelainan dalam album baharunya.
Dua lagu terbaharunya berjudul Intan Dan Perak serta Seribu Tahun Lagi juga menjadi antara senarai yang dipilih.
Bercakap lanjut, Imran juga memberi bayangan album ini disifatkan sebagai ‘penutup’ sebelum dia tampil dengan karya-karya yang berbeza dan lebih segar pada masa akan datang.
“Dua sebab album ini dihasilkan adalah kerana lagu-lagu itu memang sudah ada dalam koleksi. Kedua, jika saya ada peluang untuk tampil dengan lagu baru, ini sebagai penutup untuk versi Imran Ajmain sekarang,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


