PELAKON Erra Fazira mengakui masih belum bersedia ‘melepaskan’ anaknya, Engku Aleesya Engku Emran untuk bergelar duta atau wajah jenama meskipun sudah diintai beberapa syarikat produk.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata dia tidak pernah menghalang apa jua bidang yang ingin diceburi Aleesya termasuk dunia hiburan, asalkan anaknya benar-benar berminat serta membuat persediaan dengan rapi.
"Memang ada beberapa wakil jenama bertanyakan tentang Aleesya jika dia berminat menjadi duta atau sebagai wajah produk, tetapi saya tengok dia belum bersedia lagi.

Erra Fazira dan Engku Emran bangga anaknya kini sudah terbitkan buku.
"Aleesya masih malu-malu. Mungkin bukan sekarang, kena buat persediaan dulu. Jika dia minat ceburi hiburan pun saya lebih galakkan jadi pengacara. Cuma, sekarang ini macam ada berlian dalam mulut dia, 'introvert'.
"Malah jika dia minat menyanyi saya akan hantar ke kelas vokal,” katanya.
Erra berkata demikian selepas pelancaran buku kanak-kanak pertama Little Nina and The Adventure of Fatimah Az Zahra, nukilan Engku Aleesya di Kuala Lumpur pada Ahad.
Menurut Erra, minat Aleesya ketika ini lebih menjurus kepada bidang penulisan sehingga berjaya menghasilkan sebuah buku kanak-kanak yang disifatkan sebagai impian menjadi kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Berat melepaskan, Erra Fazira masih fikir pilihan terbaik untuk Aleesya
ARTIKEL BERKAITAN: Kenal dahulu sebelum terima, Erra Fazira bukan pilih sembarangan
“Penulisan memang minatnya. Saya tiada halangan untuk Aleesya menjadi penulis tetapi lebih galakkan dia jadikan bidang ini sebagai pendapatan sampingan.
“Kalau boleh saya mahu dia belajar lagi dan terokai bidang lain. Jika mahu jadi veterinar, pakar psikologi atau terbabit dalam bidang hiburan sekali pun, penulisan sebagai sampingan," katanya.
Erra turut menzahirkan rasa bangga melihat bakat anaknya itu yang diberi kepercayaan menerbitkan buku sulung pada usia muda.
“Saya bukan mahu memuji anak, cuma saya kagum dengan ideanya yang saya sifatkan di luar kotak. Sejak kecil dia sudah tunjukkan bakat menulis. Saya beri buku, bapanya bagi galakkan.
“Sebagai seorang yang pemalu, Aleesya curahkan segala perasaan dalam penulisan, macam saya dulu sebelum adanya gajet kerana saya suka menulis dan membaca.

Erra belum bersedia memberi lampu hijau kepada anaknya mengintai peluang dalam dunia hiburan buat masa ini.
"Bahkan karangan saya dahulu sering menjadi contoh kepada rakan sekelas," katanya.
Sementara itu, bapa Aleesya, Engku Emran turut berkongsi dia sendiri memberikan galakan kepada puterinya itu untuk menghasilkan sebuah buku dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami oleh golongan kanak-kanak.
“Waktu dia menulis buku ini, dia baru berusia 14 tahun dan ketika itu tidak sesuai lagi dia untuk dia menulis kisah cinta remaja. Saya mahu dia menulis buku yang mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak.
“Saya tak mahu letak sasaran tinggi, cukup untuk menulis buku yang mudah difahami walaupun dia sendiri membaca buku untuk pembaca dewasa,” kongsinya.
Cetakan pertama buku di bawah terbitan Tertib Publishing sebanyak 1,000 naskhah itu kini telah terjual sebanyak 50 peratus.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


