PENGASAS Icon Entertainment, Iman Tang bakal bekerjasama dengan penyanyi Yasin Sulaiman dalam sebuah projek terbaharu.
Iman berkata, mereka sudah berbincang mengenai lagu baharu yang dihasilkan sendiri oleh Yasin.
Menurut Iman, walaupun undang-undang perlu dihormati, kreativiti seorang anak seni tidak wajar dipinggirkan.
"Saya tanya boleh tak nak satu lagu, tapi tak boleh cerita banyak sebab perancangan ini belum jadi tapi sama-sama kita doakan agar semua urusan ini dipermudahkan.

Iman mahu memberi peluang buat Yasin terus berkarya.
"Bila saya dengar bahagian korus itu, ada beberapa nama seperti Datuk M Nasir dan penyanyi Indonesia, Ahmad Dhani yang layak membawakannya. Dengan lenggok lagu tersebut saya rasa memang kena.
"Kalau ikut undang-undang salah tetap salah. Tapi kita jangan 'bunuh' kreativiti anak seni. Karier sebagai pemuzik tetap harus diteruskan," katanya kepada mStar.
Dalam masa sama, Iman memberitahu dia dan penyanyi Zizi Kirana berkesempatan melawat Yasin di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak (HBUK) baru-baru ini bagi bertanya khabar serta memberi sokongan moral.
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah kurus sampai nampak tulang, Yasin Sulaiman makin sihat tinggal di Hospital Bahagia
ARTIKEL BERKAITAN: Yasin Sulaiman kekal bebas hukuman penjara dan sebat, kembali ke Hospital Bahagia
Kongsi Iman, keadaan Yasin dilihat semakin baik dan sihat, selain menyatakan rasa syukur kerana penyanyi itu tidak disabitkan sebarang kesalahan.
"Sebenarnya kami pergi ke Hospital Bahagia itu untuk melawat Yasin. Alhamdulillah dia tidak disabitkan kesalahan.
"Alhamdulillah dia sihat, malah kami sempat bertanya khabar. Cuma tak tahu bila dia akan dibenarkan keluar daripada hospital itu. Badan dia nampak berisi sekarang.
"Dia cakap ada banyak lagu yang ingin dihasilkan, tapi saya kata buat persembahan terus kerana ramai yang merinduinya," katanya.

Yasin kini menerima rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.
Pada 28 April lalu, Yasin menarik nafas lega apabila kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan akhir Yasin selaku perayu untuk mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan.
Meskipun dilepas dan dibebaskan, Yasin ditempatkan di HBUK selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin yang melepas dan membebaskan pelantun lagu Mimpi Laila itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


