PELAKON Idan Aedan meluahkan rasa syukur apabila menerima pujian daripada aktres Indonesia, Dian Sastrowardoyo selepas mereka digandingkan dalam filem antarabangsa berjudul The Fox King.
Idan atau Muhammad Shahidan Abdullah, 21, juga berkata peluang berlakon di sisi Dian merupakan satu pengalaman yang sangat berharga dalam kerjaya seninya.
"Saya pun terkejut bila tahu dia puji saya macam tu. Tak sangka langsung. Tapi saya rasa sangat bertuah dapat bergandingan dengan pelakon hebat macam Dian.

Idan bakal berangkat ke Toronto, Kanada pada 7 September ini.
"Dian sangat supportive. Masa penggambaran, saya pun rasa berdebar sangat... iyalah, saya baru nak bina nama, tiba-tiba digandingkan dengan ikon seperti dia.
"Kami jalani penggamaran seminggu sahaja, tapi dalam masa tu memang jadi rapat. Kami boleh lepak makan sama, saya suka tanya soalan dan dia jawab semua dengan sangat humble. Itu yang saya rasa kagum sangat dengan dia," katanya kepada mStar.
Idan membawa watak Ali dalam filem tersebut, sementara Dian membawakan watak seorang guru bernama Lara.
Dalam masa sama, Idan turut berterima kasih kepada pengarah filem, Woo Ming Jin yang banyak membimbingnya sepanjang penggambaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Berlakon siri Netflix buka peluang buat Idan Aedan, 2 tawaran produksi Indonesia dan Australia dalam genggaman
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada tawaran berlakon bukan benda pelik, Chew Kin Wah sedar diri sudah tua
"Watak Ali tu bukan mudah. Saya sendiri pun ambil masa nak faham karakter tu. Tapi saya bersyukur sebab dapat bantuan daripada Woo Ming Jin yang sangat sabar dan baik hati," jelasnya.
Filem The Fox King turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Hadi Putra, Amerul Affendi, Chew Kin Wah dan ramai lagi.
Dalam perkembangan lain, Idan bakal berangkat ke Toronto, Kanada pada 7 September ini bagi menghadiri tayangan perdana The Fox King sempena Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) ke-50.
Sebelum ini, Dian menerusi satu temubual bersama Tatler Indonesia menyatakan rasa gembira dapat bekerjasama dengan pelakon Malaysia yang menurutnya mempunyai semangat kerja yang tinggi dan jiwa yang baik.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


