CUACA terik ketika berbasikal dari Dubai ke Abu Dhabi menjadi cabaran paling sukar buat pelakon Amar Bahrin dan Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin yang sedang dalam misi hari ke-18 ke Tanah Suci Makkah.
Amar, 40, berkata, mengayuh dalam cuaca mencecah 51 darjah celsius sejauh 110 kilometer bukan 'main-main' dan ia turut memberi kesan kepada tubuhnya.
"Cuaca terlalu panas untuk perjalanan kami dari Dubai ke Abu Dhabi hari ini mencecah 51 darjah celsius.
Amar kerap berkongsi tentang perjalanannya di Instagram.
"Alhamdulillah selesai 110 kilometer kayuhan untuk hari ini cuma keadaan badan agak sedikit lemah," katanya.
Amar berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya yang turut memaparkan perjalanannya dalam cuaca panas terik.
Kata Amar, disebabkan cuaca panas itu dia perlu mengambil waktu rehat lebih lama untuk mendapatkan kembali tenaga sebelum memulakan kembali perjalanan mereka.
Malah dia juga mula meluahkan rasa rindu terhadap isterinya iaitu pelakon Amyra Rosli dan dua anak mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Amar Baharin sambung kayuhan ke Makkah dari Iran, air mata Amyra Rosli ada makna mendalam - “Saya reda dan ikhlas”
ARTIKEL BERKAITAN: Konflik India dan Pakistan, Amar Baharin terpaksa tukar laluan misi kayuhan ke Tanah Suci
"Kami perlukan masa untuk pulih menghadapi cuaca melampau di Tanah Arab.
"Doakan perjalanan kami Allah permudahkan. Rindu isteri dan anak-anak," ujarnya.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengikutnya dan rakan artis turut memberi kata-kata sokongan agar dapat menaikkan kembali semangat aktor berkenaan.
Amar bersama Muqharabbin dijangka tiba pada Julai depan.
Amar dan Muqharabbin memulakan misi berbasikal ke Tanah Suci Makkah sejak 27 April lalu.
Pasangan duo itu memulakan kayuhan dari Perlis ke Thailand sebelum mengambil penerbangan ke Iran.
Ia susulan pihak berkuasa menasihatkan mereka tidak merentasi India dan Pakistan melalui jalan darat berikutan pergolakan di antara dua negara itu ketika ini.
Mereka dijangka tiba di Madinah pada Julai depan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!