ENAM tahun lalu tragedi tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand mengejutkan dunia yang menyaksikan 51 orang terbunuh dalam kejadian tersebut.
Salah seorang mangsa kejadian itu adalah rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand iaitu Rahimi Ahmad yang terkena tembakan rambang pengganas.
Kunjungan penyanyi Aliff Satar ke Christchurch turut membawanya bertemu dengan Rahimi yang sempat berkongsi pengalamannya berhubung kejadian berkenaan.
Alif ketika berkunjung ke Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand.
Cerita Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 35, Rahimi yang ditembak dari arah belakang terkena tembakan pada bahagian tulang belakang sehingga menyebabkan dia mengalami masalah saraf kekal.
“Saya sempat bergambar dengan Rahimi iaitu salah seorang jemaah yang terselamat serangan pengganas di Christchurch dahulu.
“Dia cerita pengalaman sewaktu dia ditembak dari arah belakang dan terkena tulang belakang sehingga menyebabkan sakit saraf yang kekal.
“Tapi syukur masa hari kejadian dia bersama anak dia terselamat namum 51 nyawa jemaah lain terkorban, semoga Allah menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang soleh," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Tiga rakyat Malaysia mangsa serangan NZ selamat” - Dr Mohamad Firdaus
ARTIKEL BERKAITAN: Ceramah ustaz buat Alif Satar tersentap, Gerakan Subuh Macam Jumaat mahu perbetul diri sendiri... Syukur makin ramai ke masjid
Menerusi foto yang dimuat naik Alif di Instagram, Rahimi dilihat sudah menjalani kehidupan seperti biasa namun menggunakan tongkat lengan untuk bergerak.
Untuk rekod, dalang kepada insiden tersebut iaitu Brenton Tarrant sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan keganasan.
Menurut media tempatan, Tarrant dipenjarakan dengan kawalan maksimum di Auckland, New Zealand.
Dalam pada itu, kongsi Alif, dia tersentuh mendengar cerita Rahimi apabila masyarakat tempatan di sana banyak memberi sokongan kepada komuniti Islam di negara berkenaan.
Ramai yang memeluk Islam selepas mereka dapat tahu dan belajar tentang Islam, masya-Allah.
ALIF SATAR
PELAKON DAN PENYANYI
Malah ada di antara mereka yang memeluk Islam selepas mempelajari agama itu dengan lebih mendalam.
“Lebih buat saya tersentuh, bila diberitahu selepas kejadian tersebut, penduduk tempatan di sini semua banyak bagi sokongan kepada komuniti Muslim.
“Siap ada kumpulan bukan Muslim yang akan duduk depan masjid ‘berjaga’ waktu jemaah solat dalam masjid.
"Malah ramai yang memeluk Islam selepas mereka dapat tahu dan belajar tentang Islam, masya-Allah," jelasnya.
Alif masih bersama jemaah Subuh dalam gerakan Geng Subuh Macam Jumaat.
Sementara itu, Alif tidak sangka kunjungannya ke Masjid Al Noor, Christchurch iaitu tempat terjadinya tragedi tembakan rambang itu disambut baik.
Tambah Alif dia juga berkesempatan untuk menunaikan solat subuh bersama jemaah di sana.
“Memang tak sangka ada rezeki untuk ber #gengsubuhmacamjumaat di Masjid Al Noor, Christchurch.
“Dapat tiga saf pagi tadi, jemaah perempuan pun ada yang join jugak!
“Selepas subuh, sempat juga Alif dan rakan lain beramah mesra dengan komuniti Malaysia yang dah lama tinggal kat sini, siap masakkan sarapan nasi lemak dan bihun goreng," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!