suria

[V] Dianggap menang mudah di GV11, Liza Aziz dedah ‘struggle’ sepanjang bertanding

KEMUNCULAN Liza Aziz sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) seperti sudah dijangka apatah lagi sejak awal penyanyi itu disebut-sebut akan memenangi pertandingan tersebut.

Malah dengan bakat dan kehebatan Liza menyampaikan pelbagai genre lagu membuatkan ramai merasakan penyanyi berusia 62 tahun itu mempunyai kelebihan.

Namun di sebalik itu, Liza atau Norliza Abdul Aziz menjelaskan perjalanannya di GV11 bukan semudah disangka orang ramai.

Seperti peserta lain, dia turut melalui pelbagai kepayahan dan perlu berusaha keras setiap kali mendapat tugasan mingguan dan ia mempunyai cabaran tersendiri.

Persembahan Liza di pentas akhir GV11 berjaya memukau hati juri.

Persembahan Liza di pentas akhir GV11 berjaya memukau hati juri.

"Pengalaman menyanyi mungkin jadi kelebihan tetapi perjalanan di GV11 ini bukan mudah.

"Setiap kali dapat tugasan semua orang cakap itu lagu 'makanan' saya. Realitinya bukan begitu sebab saya perlu mempelajarinya dalam tempoh kurang seminggu.

"Saya biasanya akan dengar berulang kali sampai saya dapat. Kalau buat sambil lewa memang tak akan menang! Nak ingat lirik lagu juga bukan perkara mudah," katanya kepada mStar.

Liza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert akhir GV11 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Liza Aziz tepati ramalan juara GV11, terima hadiah wang tunai RM100,000

ARTIKEL BERKAITAN: [V] 40 tahun bergelar penyanyi, Liza Aziz tak kecil hati dianggap ‘underrated’

Dalam pada itu, Liza memberitahu dia tidak menyangka dinobatkan sebagai juara GV11 kerana menjangkakan Ning Baizura akan memenangi pertandingan itu.

"Saya tak sangka dipilih pemenang, syukur Alhamdulillah. Saya ingatkan Ning menang sebab saya tidak terfikir untuk jadi juara.

"Apa yang saya tahu, sekiranya dapat lakukan persembahan dan nyanyian terbaik sudah membuatkan saya gembira tapi bonus apabila jadi juara, syukur Alhamdulillah," ujarnya.

Setiap kali dapat tugasan semua orang cakap itu lagu 'makanan' saya. Realitinya bukan begitu...

LIZA AZIZ

PENYANYI

Ditanya tentang wang tunai kemenangan berjumlah RM100,000, Liza memberitahu dia mahu membawa keluarga termasuk kakaknya iaitu penyanyi Azlina Aziz untuk menunaikan umrah.

"Dengan kemenangan tersebut, insya-Allah saya ada perancangan untuk menunaikan umrah bersama keluarga.

"Saya memang sudah berniat mahu menaja adik-beradik kami untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci," katanya.

Liza mahu membawa keluarga menunaikan ibadah umrah.

Liza mahu membawa keluarga menunaikan ibadah umrah.

Pada malam Ahad, Liza menepati ramalan apabila muncul sebagai juara GV11 menewaskan lima peserta lain menerusi persembahan lagu I Surrender nyanyian asal Celine Dion dan Cinta duet bersama penyanyi Indonesia Kris Dayanti.

Kemenangan tersebut melayakkan Liza membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Ning Baizura pula muncul selaku naib juara, tempat ketiga milik Sheila Abdul dan Dadali Dyrga berada di tempat keempat.

Manakala Zehra Zambri kelima dan trio The Lima terpaksa berpuas hati ditempat terakhir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain