BAKAL mempertaruhkan lagu Senggol Senggolan Cubit Cubitan, penyanyi Ning Baizura terharu apabila mendapat tunjuk ajar daripada pemilik asal karya berkenaan iaitu Mas Idayu. Ning atau Ning Baizura Sheikh Hamzah, 50, berkata, dia sangat mengagumi Mas Idayu yang disifatkan sebagai seorang yang baik hati, berdisiplin serta tegas. Kata Ning yang bakal mempersembahkan lagu berkenaan di peringkat suku akhir Gegar Vaganza ke-11 (GV11) pada Ahad ini, dia juga banyak mendapat inspirasi ketika sesi bersama Mas Idayu. Ning berjanji akan memberikan persembahan terbaik menerusi lagu nyanyian Mas. "Mummy (panggilan Mas Idayu) seorang yang baik hati, tegas dan berdisiplin. Inspirasi kita tau! "Terima kasih sudi datang ke rumah kita yang tak seberapa ini. Terima kasih luangkan masa, tenaga, duit minyak, ilmu dan gelak ketawa dengan Ning. "Alhamdulillah, semoga Allah permudahkan segala urusan dan jaga kesihatan Mummy sekeluarga, insya-Allah. Ning takkan lupa," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Banyak kali terima tawaran akhirnya Ning Baizura setuju sertai Gegar Vaganza, mahu jadi kenangan terindah buat ibu ARTIKEL BERKAITAN: Mas Idayu buktikan diri masih relevan, tak layak masuk pertandingan nyanyian Ning berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di TikTok miliknya. Dalam hantaran tersebut, Ning turut berkongsi video memaparkan dia sedang berlatih menyanyi sambil ditegur oleh penyanyi dangdut berkenaan. Kata Ning, dia bersyukur kerana dapat membuat latihan nyanyian bersama penyanyi asal dan berjanji akan melakukan terbaik pada konsert suku akhir GV11 nanti. Ning bakal berentap bersama tujuh lagi peserta GV11 pada pentas suku akhir Ahad ini. "Alhamdulilah bila dapat belajar daripada penyanyi asal memang meremang. Terima kasih Mummy sudi ajar Ning dengan seikhlasnya. "Belajar lenggok dangdut tak mudah, insya-Allah Ning akan cuba bawa aura lagu ini bersama dengan ilmu Mummy pada Ahad ini," ujarnya. Selain Ning, turut bersaing di pentas minggu suku akhir GV11 adalah Liza Aziz, Dadali Dyrga, Zehra Zambri, Ronnie Hussein, The Lima, Shiela Abdul dan Fairuz Selamat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!